MP Sabak Bernam kesal gambar disalah guna minta wang

Mohd Fasiah memuat naik status di Facebooknya berkaitan kes itu hari ini.
Mohd Fasiah memuat naik status di Facebooknya berkaitan kes itu hari ini.
A
A
A

SABAK BERNAM - Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh meminta orang ramai berhati-hati berikutan gambarnya digunakan pihak tertentu untuk menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp kepada kenalannya meminta sejumlah wang.

Mohd Fasiah berkata, modus operandi digunakan pihak terbabit ialah dengan menghantar WhatsApp kepada rakan-rakan peniaga kononnya beliau memerlukan wang.

Malah katanya, beberapa rakannya telah ditipu pihak terbabit, malah seorang daripada mereka telah memasukkan wang sebanyak RM1,000 ke akaun bank penama lain.

"Pihak tidak bertanggungjawab ini menggunakan taktik dengan menempah barangan seperti biskut raya, sate, ayam dan kambing golek daripada rakan peniaga.

"Selepas menempah kesemua barangan tersebut, pihak terbabit terlebih dahulu meminta rakan-rakan saya memasukkan wang seperti diminta," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Mohd Fasiah, kejadian terbaharu berlaku semalam apabila beliau sekali lagi menjadi mangsa pihak berkenaan.

"Saya berasa pelik kerana pihak terbabit sentiasa kemas kini gambar WhatsApp mengikut gambar terkini saya pada aplikasi ini bagi tujuan menipu pihak ketiga.

"Saya terpaksa mengambil keputusan menukar gambar peribadi saya kepada gambar cucu bagi memastikan gambar saya tidak disalah guna pihak terbabit," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihaknya telah membuat laporan polis sebelum ini, namun kejadian sama terus berulang seakan pihak terbabit tidak serik dengan perlakuan terbabit.

"Saya difahamkan kegiatan licik ini turut berlaku kepada beberapa individu lain dan berharap pihak terbabit dapat ditahan bagi membantu siasatan.

"Saya masih menggunakan nombor telefon lama dan tidak pernah menukar atau menggunakan nombor telefon baharu untuk meminta wang," katanya.

Sinar Harian pada 20 April lalu melaporkan Mohd Fasiah membuat laporan polis berhubung gambarnya digunakan pihak tertentu tidak dikenali menghantar mesej meminta sejumlah wang untuk dipindahkan ke akaun tertentu.

Mohd Fasiah berkata, ramai yang menjadi mangsa penipuan pihak terbabit dan beliau berharap masyarakat lebih berhati-hati.