Rumah terbakar, empat sekeluarga melecur

Kebakaran melibatkan dua rumah di Kuala Kangsar hari ini. Foto: JBPM
Kebakaran melibatkan dua rumah di Kuala Kangsar hari ini. Foto: JBPM
A
A
A

KUALA KANGSAR - Empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak melecur dalam kebakaran dua rumah di Jalan Dato Sagor berhampiran Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tsung Wah di sini awal pagi tadi.

Mangsa yang melecur melibatkan wanita warga emas berusia 72 tahun, anak lelakinya berusia 52 tahun dan dua cucu lelaki berusia 14 tahun dan enam tahun.

Kebakaran itu turut melibatkan rumah yang diduduki seorang anggota bomba namun dia dan isterinya dilaporkan selamat.

Anggota bomba menjalankan operasi pemadaman kebakaran melibatkan dua rumah di Kuala Kangsar hari ini. Foto: JBPM
Anggota bomba menjalankan operasi pemadaman kebakaran melibatkan dua rumah di Kuala Kangsar hari ini. Foto: JBPM

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Mohd Taufiq Abd Sattar berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kebakaran rumah itu pada jam 2.53 pagi.

Menurutnya, rumah pertama yang diduduki empat sekeluarga itu musnah 90 peratus termasuk sebuah kereta.

“Keempat-empat mangsa yang berjaya menyelamatkan diri mengalami kecederaan telah diberi rawatan awal dan dihantar ke Hospital Kuala Kangsar.

”Rumah kedua yang diduduki anggota bomba hanya musnah 20 peratus iaitu melibatkan di bahagian bumbung dan siling,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Taufiq berkata, anggota kemudiannya bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan aliran air dari dua tangki jentera pemadam api.

“Operasi pemadaman itu turut dibantu pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput dan tamat sepenuhnya pada jam 4 pagi,” katanya.