Beli barang dapur hantar sampai depan rumah

Mohammad Suhaili (dua dari kanan) bersama rakan kongsinya menunjukkan aplikasi ganufresh.com di telefon bimbit masing-masing.
Mohammad Suhaili (dua dari kanan) bersama rakan kongsinya menunjukkan aplikasi ganufresh.com di telefon bimbit masing-masing.
A
A
A

SEJAK pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, penghantaran menjadi salah satu perkhidmatan penting di seluruh negara.

Banyak syarikat tampil menyediakan perkhidmatan berkenaan bagi memenuhi keperluan tersebut yang dilihat semakin meningkat setiap hari terutamanya ketika Ramadan.

Salah satu syarikat terlibat ialah Ganufresh.com yang beroperasi di Kuala Terengganu, Terengganu.

Syarikat tersebut menawarkan perkhidmatan pesanan dan penghantaran barang segar kepada mereka yang tinggal atau bekerja di luar Terengganu untuk dihantarkan kepada ibu bapa yang tinggal di kampung.

Antara barangan yang boleh dipesan untuk penghantaran ialah ayam, telur, daging, hasil laut, sayur-sayuran, buah-buahan serta barang masakan.

Pengarah Eksekutif BenSugeh Group Sdn Bhd, Mohammad Suhaili Kasmat, 32, berkata, Ganufresh.com adalah platform untuk pelanggan membeli barang basah secara dalam talian (online) tanpa perlu beratur panjang di pasar.

Katanya, setakat ini lokasi penghantaran barangan yang dipesan melibatkan tiga daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang.

“Kita akan tolong beratur beli barang dan hantar terus di pintu rumah berdasarkan alamat yang diberikan oleh pelanggan.

Artikel Berkaitan:

“Kita akan pastikan barangan yang sampai ke rumah dalam keadaan segar. Sekiranya tidak berpuah hati, wang mereka akan dikembalikan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kebanyakan pelanggan yang menggunakan perkhidmatan itu adalah penduduk Terengganu serta beberapa lokasi lain seperti Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Sejak memulakan operasi pada pada 22 Mac lalu, kira-kira 50 peratus tempahan diterima adalah untuk keluarga di kampung.

“Kebanyakan pelanggan kami adalah mereka yang merantau dan bekerja di ibu kota,” katanya.

Tambahnya, selebihnya pesanan diterima daripada penduduk tempatan dan pelancong yang terkandas di negeri itu selepas pelaksanaan PKP akibat penularan koronavirus (Covid-19).

Antara barangan yang boleh dipesan menerusi Ganufresh.com ialah ayam, ikan, sayur dan buah-buahan.
Antara barangan yang boleh dipesan menerusi Ganufresh.com ialah ayam, ikan, sayur dan buah-buahan.

Idea

Mohammad Suhaili berkata, platform perniagaan itu diwujudkan bersama rakan kongsinya iaitu Muhammad Jamal Rafaie Jakiran, 31, Muhammad Ismail Syafiq Ibramsah, 30, dan Mohd Hanif Syazwan Abd Halim, 30.

Menurutnya, idea berkenaan tercetus apabila mereka melihat kaedah perniagaan sedemikian ketika mengunjungi Indonesia sebelum ini.

“Sudah agak lama kami merancang untuk memulakan bisnes ini namun sehinggalah kerajaan menguatkuasakan PKP akibat penularan Covid-19.

“Apabila melihat orang ramai berpusu-pusu ke pasar untuk membeli barangan basah, kami mula terfikir untuk menyediakan perkhidmatan ini,” katanya.

Muhammad Suhaili berkata, mereka yang ingin menempah barangan di Ganufresh hanya perlu melayari laman web Ganufresh.com dan memilih keperluan mengikut kategori.

Jelasnya, urusniaga dilakukan sepenuhnya tanpa tunai secara dalam talian.

“Kesemua tempahan akan diuruskan setiap hari seawal jam 4 pagi kerana barang dibeli dibekalkan terus daripada pembekal di pasar borong.

“Jadi, tempahan perlu dilakukan sehari lebih awal kerana kami mahu pastikan barang diterima pelanggan sentiasa,” katanya.

Mohammad Suhaili berkata, Ganufresh.com menerima peningkatan tempahan sepanjang Ramadan ini.

“Alhamdulillah, ramai yang memilih platform ini untuk memudahkan urusan harian memandangkan sambutan Ramadan berada dalam tempoh PKP.

“Setiap hari kami menerima banyak tempahan daripada pelanggan untuk dihantar ke pelbagai lokasi,” katanya.