Covid-19: 44,500 pekerja disaring bawah PSP Perkeso

SARAVANAN
SARAVANAN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 44,500 pekerja telah menjalani ujian saringan Covid-19 menerusi Program Saringan Prihatin (PSP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) daripada 298,000 orang yang berdaftar dengan program itu setakat semalam.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, program itu dijalankan oleh penyedia perkhidmatan dilantik Perkeso di 39 lokasi serta 120 unit bergerak di seluruh negara.

“Jenis ujian saringan melibatkan dua fasa iaitu saringan RT-PCR (Covid-19 Reverse Transcriptase Polymerase Chain Reaction) yang dijalankan melalui pengambilan sampel daripada hidung dan mulut oleh penyedia perkhidmatan yang dilantik atau ujian RTK Antibody (Rapid Test Kit) yang dilakukan melalui sampel titis darah oleh panel klinik PSP Perkeso.

“Permohonan untuk saringan boleh dibuat secara berkelompok mahupun persendirian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk saringan berkelompok, Saravanan berkata majikan dan penyedia perkhidmatan perlu bersetuju tentang bilangan pekerja yang terlibat serta penetapan tarikh dan lokasi saringan.

Beliau berkata, majikan juga perlu melengkapkan senarai nama pekerja berserta butiran mereka sebelum mengemukakan senarai kepada penyedia perkhidmatan sekurang-kurangnya 24 jam sebelum tarikh saringan.

Jika pekerja memilih untuk hadir sendiri ke klinik atau makmal penyedia perkhidmatan yang dilantik, mereka perlu mendaftar di Portal PSP Perkeso https://psp.perkeso.gov.my dengan memberikan maklumat nombor kod majikan serta nombor kad pengenalan atau Keselamatan Sosial Pekerja Asing (KSPA).

“Keputusan ujian saringan adalah sulit dan hanya diketahui oleh pekerja, penyedia perkhidmatan dan Perkeso. Sekiranya keputusan adalah positif, penyedia perkhidmatan akan menghantar notifikasi kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

PSP Perkeso merupakan program ujian saringan Covid-19 secara percuma kepada pekerja termasuk pekerja asing yang berdaftar dengan Perkeso di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 bagi syarikat yang dibenarkan beroperasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tertakluk kepada garis panduan yang disediakan bermula 27 April lalu. - Bernama