Tak tepat kata BN gagal bela Orang Asli

Shamsul Anuar menyantuni penduduk Kampung Orang Asli Sungai Ubi, Ringlet, semalam.
Shamsul Anuar menyantuni penduduk Kampung Orang Asli Sungai Ubi, Ringlet, semalam.
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Dakwaan bahawa BN gagal membela masyarakat Orang Asli tidak merujuk kepada data dan fakta sebenar.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, sebaliknya BN mempunyai rekod baik dalam membawa perubahan kepada Orang Asli ketika menjadi kerajaan.

"Kalau kata Orang Asli tak dapat pembelaan kerajaan BN dulu, itu tak tepat. Yang berkata begitu adalah mereka yang tak merujuk kepada fakta dan data sebenar.

"Kita dapat lihat dari segi prasarana, ada kemudahan pengangkutan, bekalan elektrik dan pendidikan. Malah, calon BN sendiri ada tahap pendidikan tinggi yang menunjukkan bukti perubahan Orang Asli," katanya kepada media selepas menyantuni penduduk Orang Asli di Kampung Panggen, Ringlet, di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan veteran DAP, Lim Kit Siang bahawa Umno/BN gagal membela Orang Asli ketika 60 tahun memerintah.

Selain Kampung Panggen, Shamsul Anuar turut meluangkan masa melawat Orang Asli di Kampung Sungai Ubi dan mendengar luahan penduduk mengenai masalah dihadapi.

Menurut beliau, hasil lawatan memperlihatkan sokongan rakyat kepada calon BN, Ramli Mohd Nor semakin meningkat.

"Ia memberi petanda positif untuk membolehkan BN kekalkan kerusi ini. Menjadi harapan kita juga untuk dapat tambahan undi yang lebih banyak.

Artikel Berkaitan:

"Kalau Orang Asli beri mandat kepada BN yang faham tentang situasi di sini, tentu isu-isu mereka dapat diketengahkan," katanya.