Ahli perniagaan ditipu Macau Scam

Macau Scam menipu mangsa melalui telefon. Gambar kecil: Mohd Wazir
Macau Scam menipu mangsa melalui telefon. Gambar kecil: Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - Seorang ahli perniagaan kerugian sebanyak RM56,560 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai kakitangan pejabat pos dan pegawai polis.

Pada 25 April lalu, mangsa berusia 48 tahun menerima panggilan daripada kakitangan pejabat pos yang mengatakan terdapat bungkusan atas nama mangsa dikirim ke satu alamat di Sabah ditahan kerana berisi dokumen peribadi yang mencurigakan.

Suspek juga memberitahu bungkusan itu mengandungi kad pengenalan, lapan kad bank serta buku cek dan hasil siasatan mendapati ia ada kaitan dengan kes pengubahan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menafikannya dan suspek memintanya membuat laporan polis di Sabah melalui panggilan telefon.

Menurutnya, panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada seorang pegawai polis untuk tindakan lanjut dan hasil semakan mangsa dikatakan terlibat dengan kes berkenaan dan perlu disiasat termasuk akaun bank yang digunakan.

“Bagi tujuan siasatan, mangsa diminta memindahkan wang dalam akaun banknya ke akaun bank lain sementara waktu.

“Pada 28 April mangsa berbuat demikian secara berperingkat melalui dua akaun bank yang diberikan membabitkan pindahan wang keseluruhan berjumlah RM56,560,” katanya.

Mohd Wazir berkata, selepas wang dipindahkan, pegawai polis berkenaan memaklumkan akaunnya akan diaudit dan keputusan siasatan akan dimaklumkan kepada mangsa.

Artikel Berkaitan:

“Mangsa mula curiga apabila keputusan siasatan kesnya tiada sebarang perkembangan dan syak telah ditipu apabila gagal menghubungi pegawai polis berkenaan.

“Mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Kuantan semalam untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.