X

Kindly register in order to view this article
!

'Azmin mungkin belajar daripada pentadbiran Trump'

Anwar Ibrahim
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mungkin belajar daripada pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Itu sindiran Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila menteri berkenaan menegur negeri-negeri yang menangguhkan membuka semula ekonomi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau berkata, kenyataan Mohamed Azmin yang juga Menteri Kanan (Ekonomi) 'mengugut' kerajaan negeri juga melambangkan sikap angkuh dan takbur beliau yang menganggap pandangan dirinya sahaja yang terbaik.

"Menteri Kanan (Ekonomi) ini mewakili industri korporatkah? Negeri-negeri dalam sistem pentadbiran kerajaan Persekutuan ada kuasa dengan menteri besar dan ketua menteri kena bincang bersama majlis perbandaran dan daerah sebelum buat apa-apa langkah.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan negeri boleh kena saman: Azmin

Negeri kena patuh keputusan Pusat

"Bila Menteri Kanan (Ekonomi) ugut suruh syarikat saman kerajaan negeri, ini saya tidak faham dan melambangkan sikap angkuh, takbur dan menganggap pandangan dirinya sahaja yang terbaik sehingga tidak ambil tahu pandangan kerajaan negeri.

"Jangan ikut kaedah pentadbiran Trump. Saya ingat beliau belajar daripada Trump yang mengugut akan mengambil tindakan saman kepada mana-mana gabenor tidak mahu ikut arahannya," katanya pada sesi Facebook secara langsung hari ini.

Mohamed Azmin semalam berkata, negeri-negeri yang tidak membuka semula ekonomi di bawah PKPB terdedah kepada tindakan undang-undang daripada pihak industri.

Menurutnya, PKPB bukanlah dilaksanakan secara tergesa-gesa oleh kerajaan memandangkan pembukaan ekonomi sudah dilakukan secara berperingkat mulai 18 Mac hingga 28 April di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Tahap Satu hingga Tiga dengan pematuhan syarat kesihatan.

Namun menurut Anwar, keputusan enam kerajaan negeri menangguhkan arahan PKPB kerana mereka mempunyai kuasa dan perlu mengadakan perbincangan susulan bersama majlis perbandaran serta daerah sebelum membuat kata putus.

Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) menasihatkan Mohamed Azmin supaya menjalankan rundingan dengan kerajaan negeri dalam mencari penyelesaian terbaik terhadap isu pematuhan perlaksanaan PKPB di setiap negeri.

Menurutnya, Mohamed Azmin sepatutnya kembali memanggil semua ketua menteri dan menteri besar untuk berunding kerana semua maklum masalah koronavirus (Covid-19) bukan sekadar masalah ekonomi terjejas dan pengangguran pekerja, sebaliknya turut membabitkan masalah kesihatan dan nyawa rakyat.

"Apa salah berunding dengan mereka dan kalau mereka minta ditangguhkan, takkanlah ada menteri besar, ketua menteri yang tidak fikir soal pekerjaan dan pengangguran? Mereka kena fikirkan juga soal kesihatan dan keselamatan," katanya.

Anwar turut menegaskan pendirian PH mengkritik tindakan kerajaan membuka kembali sektor ekonomi secara tergesa-gesa adalah berdasarkan aspek objektiviti apabila kerajaan memberi alasan penjanaan ekonomi yang tidak jelas.

Menurutnya, kerajaan kena mengimbangi langkah pembukaan semula sektor perniagaan dengan lebih kemas dan mengambil contoh inisiatif dilakukan kerajaan Thailand serta Singapura.

"Kita (PH) hanya bersetuju untuk mengambil langkah memulihkan ekonomi secara berperingkat, tetapi ada kelemahan-kelemahan kerajaan dalam mengendalikan isu Covid-19 ketika ini seperti keupayaan kita mengadakan ujian saringan penyakit itu.

"Kita faham keperluan kerajaan menjana ekonomi tetapi mereka kena runding dengan semua pemegang taruk sektor ekonomi negara termasuk menteri besar, ketua menteri dan pakar ekonomi," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!