'Saya cemburu masa lapang banduan untuk beribadah': Zulkifli

Zulkifli (kanan) ketika melawat banduan akhir di salah sebuah penjara berkenaan. #Facebook Menteri Hal Ehwal Agama
Zulkifli (kanan) ketika melawat banduan akhir di salah sebuah penjara berkenaan. #Facebook Menteri Hal Ehwal Agama
A
A
A

SHAH ALAM - Pengurusan penjara termasuk banduan akhir di dua penjara di Selangor menerima lawatan Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, hari ini.

Zulkifli berkata, setiap kali Ramadan tiba, Penjara Kajang dan Penjara Sungai Buloh menjadi destinasi kunjungan beliau, namun tidak pasti mengapa hatinya tertaut kepada dua tirai besi itu sejak dahulu.

"Melihat wajah-wajah bersih banduan akhir, menerbitkan rasa keinsafan dan kesyahduan yang amat mendalam. Mereka di dalam sana, Insya-ALLAH berada dalam penjagaan-Nya.

"Tidak sibuk memikirkan apa-apa urusan melainkan persediaan untuk menuju kematian. Saya amat cemburu dengan masa lapang mereka yang sangat luas untuk beribadah," katanya dalam catatannya di Facebooknya malam ini.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Yayasan Taqwa kepada pihak pengurusan dua penjara berkenaan dan banduan akhir.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, pada tahun ini pihaknya tidak dapat menganjurkan majlis berbuka puasa seperti tahun-tahun sebelumnya kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang perlu dipatuhi.

"Namun, alhamdulillah kami dapat juga menguruskan juadah berbuka puasa 'KFC' dan 'Pizza Hut' buat insan-insan istimewa (banduan akhir) ini.

"Masih teringat titisan air mata banduan akhir sambil memuji-muji ALLAH apabila menjamah suapan pertama nasi Arab kambing pada majlis berbuka puasa tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Entah berapa lamanya mereka tidak menikmati makanan seenak begitu. Apa salahnya setahun sekali kita gembirakan mereka.

"Saya katakan kepada mereka, tuan-tuan doakan saya jadi menteri yang buat kerja kerana ALLAH, ya. Doakan moga-moga kita bertemu di syurga nanti. Pesanan saya disambut dengan gemaan 'Amin' oleh banduan akhir," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berharap sumbangan kepada pihak Penjara Kajang dan Sungai Buloh dapat meringankan beban kakitangan penjara B40 dan kader Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Beliau amat berterima kasih kepada Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Datuk Zulkifli Omar, Pengarah Penjara Kajang, Abdul Halim Ma Hassan dan Pengarah Penjara Sungai Buloh, Rosoman Abu Bakar @ Che Din atas kerjasama diberikan.

"Terima kasih juga kepada badan bukan kerajaan (NGO) MyFundAction yang turut serta menyampaikan sumbangan kepada banduan akhir.

"Terima kasih kepada semua banduan akhir kerana sekali lagi memaknakan Ramadan saya pada tahun ini. Walaupun pertemuan singkat, tetapi tetap membekas kepada hati kecil ini," katanya.