X

Kindly register in order to view this article
!

KBS keluarkan garis panduan sukan dibenarkan ketika PKPB

Rizal Merican pada sesi persidangan video hari ini. - Foto : KBS
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mengeluarkan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) membabitkan sukan-sukan yang dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, garis panduan yang diusahakan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) itu melibatkan sukan seperti golf, olahraga dan berbasikal yang dibenarkan sepanjang tempoh PKPB.

"Garis panduan sama juga dibuat untuk sukan yang masih tidak dibenarkan dalam tempoh PKPB tetapi boleh mengembangkan skop latihan di luar rumah seperti padang atau tempat terbuka dan seterusnya bagi cadangan latihan pusat khas bagi atlet program Road To Tokyo (RTT) yang akan menjalani latihan sepenuhnya dengan akses kepada fasaliti yang diperlukan dalam keadaan terkawal.

“Saya ada pesan persatuan-persatuan sukan kebangsaan agar merancang bersama atlet, jurulatih dengan MSN dan ISN untuk mengambil peluang mengembangkan skop dan program latihan sedia ada dengan mematuhi larangan dan arahan semasa pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Reezal Merican berkata demikian pada sesi perjumpaan melalui persidangan video bersama sebelas persatuan sukan kebangsaan yang juga pemegang taruh program latihan elit Road to Tokyo (RTT), hari ini.

Menurutnya, latihan atlet RTT yang memerlukan fasiliti spesifik seperti gelanggang badminton, kolam renang, bilik gimnasium dan pelayaran pula dicadangkan untuk mengemukakan permohonan khas kepada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan PKP.

"Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Menteri Kanan Keselamatan selepas Raya Aidilfitri nanti. Saya cadangankan untuk latihan pusat sukan berprestasi tinggi RTT, tetapi melihat juga kepada kesesuaian keadaan pada ketika itu,” katanya.

Terdahulu, perjumpaan virtual itu adalah pertemuan pertama Menteri Belia dan Sukan bersama persatuan sukan kebangsaan berkenaan sejak tempoh PKP bermula termasuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) dan Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA).

Turut sama ialah Persatuan terbabit ialah Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) Persatuan Golf Malaysia (MGA), Persatuan Olahraga Para Malaysia (POPM), Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Persatuan Powerlifting Para Malaysia (PPPM), dan Persatuan Boccia Malaysia.

Sesi santai dan interaktif ini juga disertai Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sri Mohamad Norza Zakaria; Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli dan Chef de Mission Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo, Datuk Lee Chong Wei.

Antara perkara-perkara yang dikongsi dan dibincangkan bersama Reezal Merican adalah seperti proses kelayakan atlet terkini untuk Sukan Olimpik dan Paralimpik, perancangan program-program latihan dan juga program yang dijalankan persatuan termasuk program pembangunan di negeri.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!