IPTS dibenar mula operasi, pengurusan hari ini

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA- Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) boleh memulakan operasi mereka dan hal-hal berkaitan pengurusan mulai hari ini, kata Timbalan Ketua Pendaftar Institusi Pendidikan Tinggi Swasta, Datuk Dr Mohd Saleh Jaafar.

Dalam satu surat makluman bertarikh 3 Mei berkaitan pengoperasian IPTS semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Mohd Salleh bagaimanapun mengingatkan bahawa aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka adalah tidak dibenarkan bagi mengelakkan sebarang bentuk perhimpunan.

"IPTS dibenarkan untuk melaksanakan operasi dan pengurusan mengikut keperluan organisasi masing-masing. Dalam hubungan ini, IPTS perlu bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelaksanaan operasi pengurusan tersebut," katanya.

Beliau berkata, IPTS hendaklah mempertimbang dan memberi kelonggaran untuk menggunakan waktu kerja fleksi dan menggalakkan kakitangan bekerja dari rumah dengan mengambil kira urusan atau tugasan pegawai berkenaan tidak memerlukan keberadaan pegawai di pejabat pada setiap masa.

"IPTS hendaklah menyediakan satu garis panduan dalaman sebagai langkah kawalan untuk membendung penularan pandemik koronavirus (Covid-19) sebelum IPTS memulakan operasi," katanya sambil menambah keselamatan dan kebajikan warga IPTS mesti diberikan keutamaan pada setiap masa.

Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusannya pada 1 Mei menyatakan bahawa mulai hari ini hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.-Bernama

Artikel Berkaitan: