Covid-19: Kes baharu meningkat, satu kematian di Singapura

Singapura mengesahkan 657 kes baharu koronavirus (Covid-19) semalam, dengan satu lagi kematian yang melibatkan warga emas, menjadikan jumlah kematian 18 orang.
Singapura mengesahkan 657 kes baharu koronavirus (Covid-19) semalam, dengan satu lagi kematian yang melibatkan warga emas, menjadikan jumlah kematian 18 orang.
A
A
A

SINGAPURA- Singapura mengesahkan 657 kes baharu koronavirus (Covid-19) semalam, dengan satu lagi kematian yang melibatkan warga emas, menjadikan jumlah kematian 18 orang.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat semalam, Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu memaklumkan wanita warga Singapura berusia 86 tahun itu meninggal dunia pada 3 Mei di Hospital Khoo Teck Puat.

Dilabelkan sebagai kes ke-14,744, wanita itu yang disahkan dijangkiti Covid-19 pada 27 April, mempunyai latar belakang penyakit diabetes, hipertensi dan hiperlipidemia.

Singapura melaporkan kematian pertama akibat Covid-19 pada 21 Mac.

Sementara itu, kementerian memaklumkan punca kematian kes ke-17,410, seorang lelaki warga Bangladesh berusia 47 tahun, yang meninggal dunia pada 1 Mei, adalah disebabkan penyakit jantung iskemik.

Setakat Ahad, 61 lagi kes jangkitan Covid-19 telah dibenarkan keluar hospital atau fasiliti pengasingan komuniti.

Secara keseluruhan, menurut MOH, 1,408 telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan telah dibenarkan keluar dari hospital atau fasiliti pengasingan komuniti.

Pada masa ini terdapat 1,630 kes yang masih dirawat di hospital dengan kebanyakannya stabil atau bertambah baik, manakala 22 lagi berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, 15,149 kes dengan gejala ringan atau baik secara klinikal tetapi masih positif Covid-19 kekal diasingkan di fasiliti komuniti.

Daripada 657 kes baharu yang direkodkan pada Ahad, tiada kes diimport, 13 kes dalam fasiliti komuniti, 18 pemegang permit kerja yang tinggal di luar asrama, sementara 626 pemegang permit kerja yang tinggal di asrama.-Bernama