X

Kindly register in order to view this article
!

Kenderaan persendirian dibenar muatkan empat penumpang

Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan membenarkan kenderaan persendirian memuatkan maksimum empat penumpang dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok.

Bagaimanapun Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bilangan penumpang ialah ahli keluarga dari rumah yang sama kerana tiada isu mengenai penjarakan sosial.

"Bagaimanapun saya percaya mesti ada yang ingkar mahu membawa rakan-rakan. Saya mengingatkan prosedur standard operasi (SOP) PKPB mesti dipatuhi dan mereka yang melanggar SOP berkenaan akan dikenakan tindakan tegas," katanya pada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri menegaskan sehingga semalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membuka sebanyak 255 kertas siasatan berkaitan berita palsu Covid-19.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut sebanyak 175 masih dalam siasatan manakala 26 kes telah didakwa di mahkamah, 11 diberikan notis amaran dan 15 telah mengaku bersalah.

"Orang ramai diingatkan tidak menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya. Semak kesahihan berita melalui portal sebenarnya.my. Tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka yang memuat naik berita palsu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri turut mewakili kerajaan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Koperal Safwan Mohammad Ismail yang terkorban awal pagi ini akibat dirempuh sebuah kenderaan ketika bertugas menjaga kawalan Sekatan Jalan Raya di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya LEKAS.

"Sesungguhnya PDRM dan negara telah kehilangan seorang anggota polis yang berkorban untuk negara ketika melaksanakan tanggungjawab Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam bulan Ramadan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus