Anggapan Malaysia sudah bebas Covid-19 adalah salah

 Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menafikan pandangan sesetengah pihak yang beranggapan bahawa negara ini sudah bebas daripada wabak koronavirus (Covid-19) dan tiada lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, PKP belum ditamatkan, masih berkuat kuasa dalam bentuk bersyarat dan bersifat ‘gradual lifting’.

“Anggapan kita sudah bebas Covid-19 dan tiada lagi PKP adalah salah. PKP masih berkuat kuasa dengan syarat baharu.

“Ini setelah kita berjaya memenuhi enam kriteria Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Kita memilih untuk tidak terus tamatkan PKP... kita laksana berperingkat,” katanya pada sidang akhbar secara live di Facebooknya.

Annuar berkata, kejayaan mengawal penularan wabak tidak terkawal dianggap cukup berjaya namun orang ramai perlu sedar bahawa angka kes baharu masih bersifat ‘double digit’.

Menurutnya, terdapat perbincangan umum sama ada PKP telah tamat dan masing-masing beranggapan boleh keluar mulai esok.

“Ada berpandangan kononnya kehidupan akan kembali seperti biasa semula. Ada juga berpandangan PKP patut diteruskan seperti sekarang, jangan ubah apa-apa. Apakah sebenarnya yang dilakukan dan mengapa tindakan itu dilakukan.

“Sebenarnya sepanjang PKP fasa satu hingga PKP fasa empat, penilaian dibuat sepanjang masa bukan sahaja oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) tetapi perbincangan itu sentiasa dirujuk kepada garis panduan diguna pakai oleh KKM berasaskan apa yang dipandukan oleh WHO,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, WHO mengeluarkan garis panduan amalan terbaik dalam menguruskan gejala penularan Covid-19 yang boleh dirujuk oleh negara yang sedang bertarung menangani wabak terbabit.

Katanya, mengikut jangkaan awal setengah pihak, negara dijangka mengalami lonjakan mencecah hampir 8,000 kes ketika PKP fasa tiga.

Namun Annuar berkata, peningkatan itu tidak berlaku di penghujung PKP fasa tiga malah kes harian menurun di bawah 100 memasuki fasa PKP fasa empat.

“KKM memaklumkan kita masuk fasa pemulihan, kita telah berjaya mendatarkan graf hasil usaha kerajaan sepanjang PKP fasa dua dan PKP fasa tiga dilaksanakan,” katanya.

Terdahulu, Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Wilayah Persekutuan berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan kerajaan setelah berjaya memenuhi enam kriteria ditetapkan WHO.

Ia termasuk kawalan sempadan negara telah diperketatkan untuk mengelakkan kes import positif Covid-19 berlaku serta kawalan pergerakan untuk mengurangkan kadar jangkitan dalam kalangan rakyat tempatan.

Selain itu, peningkatan keupayaan fasiliti kesihatan, keupayaan menjaga golongan berisiko seperti warga emas, pesakit yang dirawat serta orang kurang upaya juga antara kriteria berjaya dipenuhi.

Katanya, amalan normal baharu dalam kehidupan untuk menjaga kawasan yang tidak dijangkiti seperti zon hijau serta mengamalkan aktiviti normal baharu juga berjaya dilaksanakan mengikut ketetapan WHO.

“Harap difahami, mengikut standard antarabangsa kita sudah boleh tamatkan PKP, tetapi negara kita ada cara tersendiri, PKP diteruskan dan ditamatkan secara berperingkat kerana tak mahu berlaku penularan semula seperti di Jepun dan Kanada.

“Selagi vaksin tak ditemui, perang terhadap virus belum berakhir. Kalau berlaku wabak di mana-mana kawasan kita akan isytihar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi lokaliti itu sahaja bukan seluruh Parlimen,” katanya.