Jangan bawa anak kecil ketika beli barang

Anggota bertugas sedang melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan dalam operasi sekatan jalan raya sepanjang PKP di sekitar daerah Kemaman. Foto ihsan FB IPD Kemaman
Anggota bertugas sedang melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan dalam operasi sekatan jalan raya sepanjang PKP di sekitar daerah Kemaman. Foto ihsan FB IPD Kemaman
A
A
A

KEMAMAN - Polis mengingatkan masyarakat di daerah ini supaya tidak membawa anak kecil ketika keluar untuk membeli barang keperluan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, tindakan segelintir orang awam yang dilihat semakin berani selepas hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa empat berkuat kuasa perlu dipandang serius.

Menurutnya, dalam sekatan jalan raya hari pertama tempoh PKP fasa empat, pihaknya mendapati ada individu yang 'mengangkut' anak-anak kecil malah ada yang tergamak menyuruh anak mereka bersembunyi di kerusi belakang semasa melalui pemeriksaan polis.

"Setelah ditanya hendak ke mana, mereka memaklumkan hanya sekadar keluar membawa anak-anak bersiar-siar sambil membeli barang keperluan sedangkan hanya dua orang sahaja dibenarkan keluar bersama," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Hanyan berkata, pihaknya mendapati sejak PKP fasa empat ini kebanyakan kenderaan terutama kereta dinaiki empat hingga lima individu.

"Bagaimanapun mereka yang terlibat sudah diberi amaran dan sekiranya didapati masih mengulangi kesalahan sama, tindakan tegas akan diambil.

"Di sini saya ingin mengingatkan masyarakat di daerah ini terutamanya agar jangan sesekali mengambil kesempatan terhadap kelonggaran diberikan dalam tempoh PKP fasa empat yang berakhir 12 Mei ini," katanya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan membenarkan ketua keluarga yang keluar membeli makanan atau barang keperluan sepanjang tempoh PKP fasa empat boleh membawa seorang lagi ahli bersamanya.

Artikel Berkaitan:

Kebenaran itu diberikan kerajaan menerusi kemas kini Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.