Kilang plastik haram di seluruh negara bakal ditutup

Bee Yin bersama Azmizam menunjukkan sisa plastik yang ditemui di kilang kitar semula plastik terpakai yang beroperasi secara haram di Teluk Gong semasa operasi penguatkuasaan bersepadu, petang tadi.
Bee Yin bersama Azmizam menunjukkan sisa plastik yang ditemui di kilang kitar semula plastik terpakai yang beroperasi secara haram di Teluk Gong semasa operasi penguatkuasaan bersepadu, petang tadi.
A
A
A

PELABUHAN KLANG – Kira-kira 100 kilang kitar semula plastik terpakai yang beroperasi secara haram di seluruh negara akan ditutup menjelang suku pertama tahun ini.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin berkata, tindakan tegas itu perlu diambil untuk mengelakkan pencemaran udara dan air.

“MESTECC melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyasarkan untuk menutup kira-kira100 kilang kitar semula plastik terpakai yang beroperasi secara haram bagi suku pertama 2019.

“Bagi menjayakan sasaran ini, JAS menubuhkan taskforce pada peringkat Ibu Pejabat dan peringkat negeri yang akan merancang dan melaksanakan operasi bersepadu di negeri masing-masing.

“Kita akan bekerjasama dengan beberapa agensi termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), PDRM, Kastam, Imigresen dan lain-lain dalam mengadakan operasi penguatkuasaan bersepadu bagi membanteras kilang haram ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengadakan operasi bersepadu kilang kitar semula plastik terpakai di Telok Gong, di sini, hari ini.

Turut hadir, Adun Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri dan Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Dr Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim.

Menurut Bee Yin, sehingga kini, sebanyak 97 kilang kitar semula plastik terpakai dikesan beroperasi secara haram di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

“Daripada jumlah itu, 61 dikesan di Selangor, Negeri Sembilan (10), Kedah (10), Pulau Pinang (2), Perak (7) dan Kelantan (1).

“Sebanyak 52 kilang terbabit ditutup hasil 61 operasi penguatkuasaan bersepadu yang dijalankan sejak suku keempat 2018 hingga hari ini.

“Operasi penguatkuasaan bersepadu akan dijalankan berterusan bagi membendung lambakan kilang haram ini,” katanya.

Katanya, tindakan undang-undang juga akan dikenakan terhadap pemilik kilang mempunyai lesen sah sekiranya mereka tidak mematuhi Akta Alam Sekitar.

“Sehingga kini, 20 daripada 48 kilang kitar semula plastik terpakai yang sah telah diambil tindakan kerana melanggar akta terbabit.

“Justeru, kita meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kewujudan kilang haram di kawasan mereka supaya membuat laporan kepada wakil rakyat masing-masing.

“Kita mahu perangi habis-habisan kilang kitar semula plastik haram ini,” katanya.