X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Operasi perniagaan dijangka tidak serancak dahulu

Datuk Shamsuddin Bardan
A
A

SHAH ALAM - Keputusan kerajaan membenarkan hampir keseluruhan sektor perniagaan beroperasi semula bermula Isnin ini menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) merupakan tindakan yang tepat.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan bagaimanapun berkata, operasi perniagaan syarikat mungkin tidak lagi serancak sebelum penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Ini kerana, katanya, sebahagian besar majikan akan berdepan kekangan berniaga dengan kapasiti penuh susulan perubahan amalan bekerja di bawah normal baharu.

"Meskipun banyak kekangan dihadapi majikan dengan operasi perniagaan dijangkakan tidak lagi serancak sebelum Covid-19, MEF bersyukur kerajaan membenarkan majikan sekurang-kurangnya boleh kembali beroperasi selepas terjejas hampir dua bulan," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Shamsuddin bagaimanapun meminta kerajaan memberi penjelasan berkenaan jumlah julat pekerja dibenarkan untuk datang ke tempat kerja sepanjang PKPB berikutan kerajaan menggalakkan amalan bekerja secara dari rumah.

"Selain itu, kerajaan perlu memikirkan beberapa langkah tambahan bagi mengurangkan beban kesukaran majikan mengharungi perniagaan pada tempoh sangat mencabar ketika ini kerana keupayaan majikan untuk terus bertahan tanpa sebarang suntikan bantuan kerajaan sebenarnya agak terhad," katanya.

Sementara itu, Shamsuddin menggesa kerajaan meningkatkan suntikan bantuan subsidi gaji pekerja daripada 17 peratus nilai gaji pekerja swasta kepada sekurang-kurangnya 70 peratus sebagaimana dilaksanakan beberapa negara maju.

"Pada masa sama, nilai RM13.8 bilion diperuntukkan untuk skim subsidi gaji pekerja oleh kerajaan hanyalah untuk tempoh tiga bulan dan ia perlu dilanjutkan memandangkan kesan Covid-19 akan memakan tempoh masa panjang untuk pulih.

"Ini masanya untuk kerajaan menyokong pihak swasta kerana 90 peratus daripada peluang pekerjaan di negara ini berasal dari sektor swasta. Kalau sektor itu gagal, kadar pengangguran boleh mencecah dua digit," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!