Penjawat awam antara ditahan positif dadah

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SEMENYIH - Seorang penjawat awam antara tiga individu yang ditahan polis di sebuah kediaman di Jalan Ecohill, di sini, awal pagi tadi selepas dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner R Sundralingam berkata, tangkapan dibuat sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkorik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang kira-kira jam 1.15 pagi susulan aduan awam.

Menurutnya, tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 25 hingga 32 tahun telah ditahan.

"Pemeriksaan di kediaman terbabit menemui beberapa botol kaca disyaki berisi cecair dadah serta bahan leraian daun kering disyaki ganja dianggar seberat 0.13 kilogram.

"Semakan rekod juga mendapati salah seorang suspek yang tidak bekerja itu memiliki rekod lampau bersabit kes Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing juga mendapati kesemua suspek yang ditahan positif dadah.

Katanya, siasatan awal mendapati bekalan dadah itu dipercayai dibeli melalui pembelian secara dalam talian di Facebook sebelum dihantar menggunakan syarikat kurier.

"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel Berkaitan: