Pemilik bangunan tetap berdepan siasatan SPRM

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemilik bangunan yang dibina di atas dua lot tanah milik kerajaan di Medan Imbi, Bukit Bintang di sini tetap berdepan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) walaupun telah dikenakan tindakan dan membayar denda.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, selain itu pemilik bangunan itu diberi tempoh sehingga hujung bulan ini untuk tampil memberikan penjelasan sebelum tindakan selanjutnya diambil.

”Apa jua denda atau bayaran dkenakan atau perlu dibayar tidak menjadi alasan daripada sebarang bentuk siasatan oleh SPRM,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen kibar bendera Wilayah Persekutuan peringkat Kuala Lumpur di lobi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini, hari ini.

Semalam, Khalid mendedahkan sebuah syarikat telah membina bangunan di dua lot tanah milik kerajaan berkeluasan 0.14 hektar iaitu Lot 568 yang merupakan milik Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan dan Lot 716 milik Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan di bawah seliaan Ketua Setiausaha Negara.

Kawasan tersebut sebelum ini adalah sebuah taman permainan dan kawasan lapang tetapi kini digantikan dengan sebuah bangunan pejabat enam tingkat serta gerai buah-buahan.

Katanya, kerajaan sedia mempertimbangkan sekiranya penduduk mahu kawasan tersebut menjadi sebuah taman permainan namun beberapa perkara perlu diteliti.

Sementara itu, Khalid berkata, sebanyak 21 program pengisian sempena sambutan Hari Wilayah pada 1 Februari depan berbanding 45 program tahun lalu.

Menurutnya, ini sebagai langkah penjimatan dan menitikberatkan kualiti sambutan pada tahun ini yang masih inklusif kepada semua golongan dan komuniti.

Artikel Berkaitan:

“Kami mahu mengurangkan bajet dan memilih program yang berkualiti,” katanya sambil menambah sebanyak 35,000 bendera diedarkan secara percuma bagi menyemarakkan lagi sambutan tersebut. - Bernama