Majikan disyor had kerja lebih masa, kurangkan hari bekerja

Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan mulai 4 Mei ini. - Foto Bernama
Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan mulai 4 Mei ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Majikan boleh mengambil langkah sewajarnya untuk mengelakkan pemberhentian pekerja disebabkan pandemik koronavirus (Covid-19) seperti disyorkan dalam tatacara keharmonian perusahaan atau Code of Conduct.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, antara langkah bersesuaian adalah mengehadkan kerja lebih masa dan mengurangkan hari bekerja dalam seminggu atau mengurangkan bilangan kerja seminggu

Menurutnya, semua majikan dikehendaki mematuhi garis panduan mengenai pengendalian isu berhubung penularan pandemik koronavirus (Covid-19) di tempat kerja, khususnya yang membabitkan perintah kuarantin, cuti sakit dan pemberhentian pekerja.

"Sempena sambutan Hari Pekerja hari ini, saya mengingatkan para pekerja dan majikan agar sentiasa mematuhi Akta Kerja 1955, Akta Perusahaan 1966 dan akta-akta perburuhan di bawah Kementerian Sumber Manusia yang sedang berkuatkuasa.

"Kementerian Sumber Manusia telah mengeluarkan panduan pelaksanaan bayaran gaji penuh, bayaran gaji cuti sakit dan hospitalisasi bagi pekerja dikuarantin, alternatif tindakan cuti tanpa gaji dan pengurangan gaji.

"Majikan juga boleh mengambil langkah sewajarnya untuk mengelakkan pemberhentian pekerja disebabkan Covid-19 seperti disyorkan dalam tatacara keharmonian perusahaan atau Code of Conduct, iaitu mengehadkan kerja lebih masa dan mengurangkan hari bekerja dalam seminggu atau mengurangkan bilangan kerja seminggu," katanya sempena perutusan khas yang disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen televisyen tempatan dan media sosial di Bangunan Perdana Putra hari ini.

Terdahulu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan kerajaan untuk melaksanakan Peraturan Pekerjaan Darurat yang melarang pembuangan pekerja bagi tempoh tertentu, berikutan penularan Covid-19 yang turut menjejaskan pekerjaan.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J Solomon berkata, kerajaan perlu mengemukakan pelan yang tuntas bagi melindungi pekerja daripada dibuang kerja atau dipotong gaji dengan sewenang-wenangnya oleh majikan yang tidak bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan: