Zoo Taiping sambut kelahiran tiga anak Harimau Malaya

Tiga ekor anak Harimau Malaya yang baru dilahirkan di Zoo Taiping & Night Safari pada 12 April lalu. - Foto Majlis Perbandaran Taiping
Tiga ekor anak Harimau Malaya yang baru dilahirkan di Zoo Taiping & Night Safari pada 12 April lalu. - Foto Majlis Perbandaran Taiping
A
A
A

TAIPING - Zoo Taiping & Night Safari membawa khabar gembira apabila menerima kehadiran tiga ekor anak Harimau Malaya yang lahir pada 12 April lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir yang mengumumkan perkara tersebut berkata, pihaknya sangat berbangga dengan kelahiran haiwan tersebut memandangkan Harimau Malaya merupakan antara spesies yang diancam kepupusan.

Menurutnya, pada masa ini, penjaga haiwan tersebut masih membiarkan si ibu dan anaknya di tempat kurungan dan dipantau dengan kerap bagi menjamin keselamatan haiwan tersebut.

"Berat anak Harimau Malaya yang belum dipastikan jantina tersebut dianggarkan 700 gram hingga 900 gram, dilahirkan oleh ibunya, seekor Harimau Malaya dewasa berusia 11 tahun yang turut dilahirkan di Zoo Taiping & Night Safari pada tahun 2009.

"Kini Zoo Taiping mempunyai lapan ekor Harimau Malaya termasuk anak yang baru dilahirkan tersebut," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kelahiran baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan Harimau Malaya di Zoo Taiping & Night Safari sebanyak lapan ekor. - Foto Majlis Perbandaran Taiping
Kelahiran baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan Harimau Malaya di Zoo Taiping & Night Safari sebanyak lapan ekor. - Foto Majlis Perbandaran Taiping

Beliau berkata, pihak Zoo Taiping & Night Safari sentiasa memastikan pemberian diet yang mencukupi selain memastikan kawasan kandang haiwan sentiasa dalam keadaan baik untuk keselesaan si ibu dan anak.

Menurut Khairul Amir, Harimau Malaya atau nama saintifiknya Panthera tigris jacksoni merupakan spesies yang masih terdapat di habitat semula jadi dan kini diancam kepupusan pada tahap kritikal oleh Kesatuan Antarabangsa Konservasi Alam Semulajadi (IUCN).

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, berdasarkan penemuan awal survei Harimau Kebangsaan 2016-2020, populasi Harimau Malaya berada pada tahap sangat membimbangkan iaitu adalah kurang daripada 200 ekor.

Khairul Amir Mohamad Zubir
Khairul Amir Mohamad Zubir

Sementara itu, beliau berkata, susulan keputusan kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menghentikan penularan wabak koronavirus (Covid-19) di seluruh Malaysia, Zoo Taiping & Night Safari telah ditutup kepada orang awam mulai 18 Mac 2020.

Bagaimanapun katanya, kerja-kerja menjaga kebajikan haiwan di Zoo Taiping & Night Safari masih diteruskan mengikut jadual yang ditetapkan dan pematauan terhadap haiwan-haiwan dilakukan dengan lebih kerap.

"Zoo Taiping & Night Safari akan sentiasa berusaha dalam membantu negara dalam memainkan peranan dalam usaha pembiakan, pemuliharaan dan pembelajaran mengenai hidupan liar di negara ini.

"Semoga sasaran penambahan populasi Harimau Malaya meningkat menjadi 500 ekor dalam tempoh lima tahun akan datang dapat menjadi kenyataan," katanya.

Dr Kevin Lazarus
Dr Kevin Lazarus

Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Zoo Taiping & Night Safari, Dr Kevin Lazarus menjelaskan kelahiran baharu Harimau Malaya itu merupakan kelahiran keempat selepas kelahiran terakhir pada tahun 2009.

Katanya, harimau tersebut melahirkan anak setelah ia mengawan secara semula jadi pada awal Januari, 2020 dan Harimau Malaya merupakan spesies haiwan yang hidup secara bersendirian.