Amanah gesa pertimbang kebenaran solat Jumaat

Ahmad Saqif Ansorullah
Ahmad Saqif Ansorullah
A
A
A

IPOH - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak menggesa kerajaan mempertimbangkan membenarkan solat Jumaat diadakan setelah banyak sektor dibenarkan beroperasi dalam fasa keempat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Biro Dakwahnya, Ahmad Saqif Ansorullah berkata, pihaknya turut berharap kerajaan membenarkan solat Jumaat dilakukan di kawasan yang telah mencapai zon hijau dan selamat daripada penularan Covid-19.

"Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad, para ulama dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu kembali membincangkan perkara itu

"SOP bagaimana yang hendak diterapkan pasti dipatuhi oleh rakyat marhaen seperti kami. Asalkan rumah ALLAH ini kembali diimarahkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mempersoal tiada sebarang pengumuman dalam sidang media situasi terkini Covid-19 dibuat kerajaan berkaitan solat Jumaat walaupun banyak kawasan di negara ini sudah berada dalam zon hijau bebas Covid-19.

"Banyak lagi persoalan sebenarnya yang boleh membuka kembali ruang mengkaji kebenaran bagi rakyat ke masjid dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan sesuai sepertimana SOP ke kedai barangan harian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Saqif berkata, sewajarnya masjid kembali diimarahkan sebagai tanda kebergantungan kepada ALLAH dalam memohon perlindungan dan keampunan-Nya.

"Sudah tujuh minggu tidak ada khutbah, doa berjemaah melebihi 40 orang malah ketika Ramadan ini tidak dibenarkan juga bertarawih meskipun bertiga antara pegawai masjid.

Artikel Berkaitan:

"Kejayaan Malaysia menjadi negara yang berjaya membendung wabak Covid-19 perlu diraikan dengan antaranya membuka kembali pintu-pintu masjid untuk orang Islam solat berjemaah.

"Biarlah antara rahsia kejayaan yang enak dibawa cerita kepada dunia, adalah salah satunya yang utama dengan kembali dibuka masjid sebagai syiar penting agama Islam," katanya.