X

Kindly register in order to view this article
!

Long Tiger direman lima hari

Long Tiger
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang individu dikenali sebagai Long Tiger direman lima hari bagi membantu siasatan memfitnah seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, reman dikenakan ke atas suspek berusia 31 tahun itu selepas dia ditahan di rumahnya di Muar, Selasa lalu.

"Long Tiger kini sedang direman lima hari kerana kesalahan memfitnah pegawai polis berkenaan.

"Hasil siasatan mendapati suspek mempunyai tiga rekod kesalahan lampau membabitkan kes ugutan jenayah pada 2009 selain kes culik dan kes rogol pada 2012, yang kesemuanya sudah disabitkan kesalahan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, siasatan awal pihaknya mendapati lelaki itu mempunyai kaitan dengan kumpulan gengster dan polis sedang membuat siasatan lanjut.

"Suspek juga bukan warga Malaysia walaupun mendakwa dilahirkan di Mentakab, Pahang, sebaliknya adalah pemastautin sementara dari Myanmar atau Rohingya yang juga pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR)," katanya.

Sedutan rakaman video yang menunjukkan lelaki yang dikenali Long Tiger ditangkap pasukan polis selepas membuat kenyataan fitnah terhadap anggota polis IPD Tangkak, Selasa lalu.
Sedutan rakaman video yang menunjukkan lelaki yang dikenali Long Tiger ditangkap pasukan polis selepas membuat kenyataan fitnah terhadap anggota polis IPD Tangkak, Selasa lalu.

Semalam, Ayob Khan mengesahkan penahanan Long Tiger selepas gambar dan video penahannya tular di media sosial.

Long Tiger menjadi bualan netizen kerana kelantangannya sehingga menimbulkan kontroversi melalui beberapa sesi siaran langsung di Facebook sebelum ini.

Malah dia juga sentiasa mencabar mereka yang tidak bersetuju dengan pendapatnya serta mengeluarkan kenyataan yang mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan netizen.

Mengulas lanjut, Ayob Khan turut menafikan persepsi segelintir masyarakat yang menyatakan pemegang kad UNHCR kebal dari tindakan undang-undang.

"Tiada siapa pun kebal. Sesiapa yang membuat kesalahan tidak kira siapa pun termasuk pemegang kad UNHCR akan berdepan tindakan undang-undang negara," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ayob Khan berkata, seorang anggota polis IPD Muar berpangkat koperal turut ditahan atas kesalahan merakam gambar dan video penahanan Long Tiger.

"Merakam gambar serta video suspek di dalam tahanan adalah satu kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan kita akan buka kertas siasatan terhadap anggota berusia 37 tahun itu.

"Tiada pilih kasih walaupun kesalahan dilakukan anggota kami, " katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!