Praktik rutin pemakanan Rasulullah sepanjang Ramadan

Mohd Nor Mamat
Mohd Nor Mamat
A
A
A

SHAH ALAM – Menyambut Ramadan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi idea kepada pendakwah, Profesor Madya Ts Dr Mohd Nor Mamat untuk mempraktikkan rutin pemakanan yang disarankan oleh Nabi Muhammad SAW.

Pensyarah kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, pengamalan makanan sunnah yang dipraktikkan beliau adalah dengan mengambil kira apa yang dimakan bermula dari waktu bersahur sehinggalah berbuka puasa.

“Sahur cara saya adalah dengan mengambil makanan ringan atau separa sarapan pagi iaitu saya hanya makan kurma ataupun sekadar minum air kosong. Saya tidak jamah makanan berat seperti nasi. Ini juga bertujuan untuk mencukupkan tempoh 16 jam bagi memberi ruang lemak berlebihan dalam tubuh kita dibakar dan digunakan.

“Bagaimanapun, kepada mereka yang berat badan sudah ideal, bolehlah mengambil makanan lebih berat apatah lagi bagi mereka yang bekerja berat dan menggunakan banyak tenaga.

“Pada waktu berbuka pula, saya berbuka biasanya dengan tiga biji kurma, nasi dalam dua atau tiga senduk, sedikit lauk dan sayur-sayuran. Kadangkala adalah merasa juga sebiji dua kuih kemudian solat Maghrib,” katanya.

Tambah Mohd Nor lagi, beliau akan memastikan pengambilan air kosong mengikut kadar secukupnya yang diperlukan oleh badan.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan tidak ada dalil yang menyarankan supaya individu yang berpuasa berbuka dengan mengambil makanan berat atau ringan.

“Tapi makan penuh adalah sederhana bukannya makan berat berganda-ganda dengan sebab untuk qadak sarapan dan makan tengah hari.

Artikel Berkaitan:

“Sebenarnya, tidak ada juga sebarang dalil yang menyarankan supaya moreh dan sebagainya. Sebaiknya terus tidur untuk bangun awal berqiam dan sahur.

“Disebabkan berada di rumah sepanjang PKP ini, saya biasakan tidur awal dan saya bangun sekitar jam 4.30 pagi untuk berqiam dan sahur dengan sebiji tamar dan air kosong di penghujung waktu sebelum Subuh,” katanya.

Beliau berkata, rutin pemakanan cara Nabi SAW yang dilakukannya telah dipraktikkan sebelum Ramadan lagi.

“Saya mula praktikkannya sebelum puasa dan saya tak ambil sarapan pagi sebab praktis 'intermittent fasting', mencukupkan tempoh 16 jam tanpa makanan, maksudnya saya berhenti makan sebelum Maghrib dan saya makan hari berikutnya selepas jam 12 tengah hari.

“Ini adalah cara saya dan hanya sesuai untuk mereka yang mempunyai lebihan lemak supaya bagi ruang lebihan lemak dibakar dan dikurangkan dalam tempoh tersebut.

“Untuk makan tengah hari dan malam, saya ambil nasi satu senduk, lauk dan sayur. Kadangkala makan kuih, tetapi kalau ada buah lebih baik. Namun saya berhenti makan sebelum Maghrib,” katanya.