Longgarkan PKP untuk sektor ekonomi

Kerajaan perlu memberi sedikit kelonggaran kepada semua syarikat perniagaan di Malaysia untuk beroperasi bagi merancakkan semula ekonomi dan mengelakkan rakyat hilang punca pendapatan. - Foto 123RF
Kerajaan perlu memberi sedikit kelonggaran kepada semua syarikat perniagaan di Malaysia untuk beroperasi bagi merancakkan semula ekonomi dan mengelakkan rakyat hilang punca pendapatan. - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu memberi sedikit kelonggaran kepada semua syarikat perniagaan di Malaysia untuk beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa empat.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, langkah itu perlu bagi merancakkan semula ekonomi dan mengelakkan rakyat hilang punca pendapatan.

“Tempoh PKP sekarang adalah penting untuk kerajaan mengawal penularan wabak koronavirus (Covid-19) tetapi untuk menjana kegiatan ekonomi, semua syarikat perlu dibenarkan beroperasi.

“Tetapi tidak semestinya mereka perlu beroperasi pada tahap seratus peratus kerana ada syarikat yang menawarkan perkhidmatan, ada tugas yang boleh dilakukan di rumah. Jadi selebihnya boleh dibenarkan beroperasi dari pejabat syarikat atau tempat kerja masing-masing,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Shamsuddin berkata, sebagai langkah kawalan, kesemua syarikat itu perlu beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan perlu sentiasa berhati-hati.

Shamsuddin Bardan
Shamsuddin Bardan

Pada masa sama, katanya, sektor kerajaan juga boleh mula membuka pejabat tetapi bukan sepenuhnya, sebaliknya secara berperingkat dan orang awam masih tidak boleh keluar sewenang-wenangnya.

“Kalau perkara ini dibenarkan, dijangka seramai tujuh juta pekerja di negara ini boleh keluar bekerja semula daripada keseluruhan 15 juta pekerja di negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Dengan cara ini, kita mungkin dapat kurangkan kerugian yang ditanggung akibat PKP kepada kira-kira RM1 bilion sehari kerana Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa negara alami kerugian RM2.4 bilion sehari akibat PKP,” katanya.

Pakar Ekonomi daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan turut berpendapat adalah wajar kelonggaran diberikan kepada beberapa sektor ekonomi dalam menjana semula ekonomi negara.

Dr Ahmad Azrin Adnan
Dr Ahmad Azrin Adnan

“Kelonggaran ini akan memberi keseimbangan antara kesihatan awam dengan pemulihan ekonomi yang perlu berjalan serentak.

“Katakanlah kalau kita pulih seratus peratus Covid-19 baru kita nak longgarkan, ia dari segi pemulihan ekonomi tak baik untuk negara ini sebab kita tak mungkin selama-lamanya bergantung kepada Perbendaharaan Malaysia untuk membantu mereka yang kesempitan sekarang ini,” katanya.