Rendang udang galah penambat selera MB Perak

Rendang udang galah hasil air tangan Dr Nomee Ashikin menjadi juadah kegemaran Ahmad Faizal sewaktu berbuka puasa.
Rendang udang galah hasil air tangan Dr Nomee Ashikin menjadi juadah kegemaran Ahmad Faizal sewaktu berbuka puasa.
A
A
A

IPOH - Juadah yang disediakan ringkas dan mudah tetapi rendang udang galah menjadi pilihan utama keluarga Menteri Besar Perak sewaktu berbuka puasa.

Isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi berkata, juadah tersebut berjaya menambat selera suaminya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang seharian bertugas mentadbir negeri.

“Datuk Seri suka menikmati masakan kampung dan udang menjadi sumber protein kegemarannya untuk dimakan bersama nasi putih, sambal belacan serta ikan masin.

“Menggunakan bahan yang segar seperti santan dan kunyit hidup merupakan petua menjadikan masakan kita lebih enak,” kata Dr Nomee Ashikin kepada Sinar Harian.

Menurut Dr Nomee Ashikin, resipi yang dipelajarinya daripada arwah ibu mentuanya itu boleh digantikan dengan ayam, kerang atau ikan.

Tambahnya, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) digunakan sebaiknya bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Datuk Seri juga tidak kekok ‘beraksi’ bersama sudip dan kuali untuk membantu memasak di dapur sekiranya beliau ada masa lapang. Boleh dikatakan beliau pandai masak.

“Berbanding tahun sebelumnya, beliau berbuka puasa pada majlis yang dihadirinya tetapi kini beliau mempunyai masa terluang untuk berbuka puasa di rumah bersama keluarga sepanjang tempoh PKP ini,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Rendang udang galah yang menjadi kegemaran Ahmad Faizal.
Rendang udang galah yang menjadi kegemaran Ahmad Faizal.

Resipi rendang udang galah:

Bahan kisar

10 tangkai cili kering

3 batang serai

1 inci kunyit hidup

1 inci halia

1 inci lengkuas

3 ulas bawang putih

2 labu bawang besar

Bahan B

2kg udang galah

Sehelai daun kunyit (dihiris halus)

2 cawan santan

3 sudu kerisik

Minyak masak untuk menumis

Garam

Gula

Cara memasak

- Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga naik bau.

- Masukkan udang, santan, kerisik, daun kunyit dan kacau sehingga udang berubah warna kemerah-merahan.

- Tambahkan santan jika perlu dan masukkan garam serta gula secukup rasa sebelum dihidangkan.

Tips masakan

Untuk memastikan minyak cukup panas, letakkan senduk kayu dan nampak buih di keliling senduk.

Bagi memilih udang galah segar, lihat warnanya yang kebiru-biruan, isi tidak lembik serta tidak berbau hanyir.