FAM, MFL dalam persimpangan dilema

Laporan Sinar Harian sebelum ini berhubung aksi saingan Liga-M yang terpaksa ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.
Laporan Sinar Harian sebelum ini berhubung aksi saingan Liga-M yang terpaksa ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.
A
A
A

SEHINGGA saat dan ketika ini, belum dapat dipastikan apa yang sedang bermain dalam benak fikiran pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Mahu melangsungkan kembali aksi Liga Malaysia (Liga-M) yang ditangguhkan sejak 16 Mac lalu akibat Covid-19 atau mengikut gesaan beberapa pihak untuk membatalkan terus saingan bola sepak musim ini.

Pastinya FAM dan juga MFL selaku badan pentadbir yang bertanggungjawab menganjurkan kempen bola sepak domestik itu berada dalam situasi terdesak sama ada jalan terus atau membatalkan sahaja Liga-M.

Bagaimanapun, apa sahaja tindakan yang bakal diambil, FAM mahupun MFL harus patuh dengan setiap arahan pihak kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagi pihak kerajaan sebagaimana yang dimaklumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media hariannya kelmarin, kerajaan sedia mempertimbangkan semula cadangan FAM untuk meneruskan Liga-M.

FAM dan MFL tidak boleh cepat menarik nafas lega kerana Liga-M tidak boleh dilangsungkan serta-merta sejurus PKP berakhir. Sebaliknya, ada tempoh bertenang terlebih dulu sebelum ia dapat kembali dilangsungkan.

Atas kertas, jika tempoh PKP berakhir seawal-awalnya Jun nanti, kemungkinan besar kerajaan hanya dapat memberi lampu hijau kepada FAM dan MFL untuk kembali melangsungkan Liga-M pada Oktober atau September depan.

Terbaharu, Ketua Jawatankuasa Perubatan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Michel D’Hooge pula menegaskan saingan liga bola sepak tidak boleh diteruskan sekurang-kurangnya sehingga 1 September depan.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan D’Hooge itu sudah cukup memberi gambaran kepada FAM dan MFL dalam menentukan hala tuju Liga-M musim ini. Keputusan segera harus dibuat FAM dan MFL.

Biarpun kini ibarat berada di persimpangan dilema, baik FAM mahupun MFL harus menerima dengan hati terbuka jika kepahitan yang terpaksa ditelan.