NS akan semak semula tatacara PKP fasa keempat

Aminuddin Harun - Foto Bernama
Aminuddin Harun - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan akan menyemak semula tatacara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini termasuk premis perniagaan yang dibenarkan beroperasi.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri pada jam 2.30 petang esok selepas mengambil kira pandangan daripada barisan Exco.

“Hari ini kita minta pandangan daripada Exco bagaimana mahu melaksanakan beberapa perkara khususnya bila Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali umumkan sektor ekonomi, kilang boleh beroperasi sepenuhnya.

“Kawasan zon hijau mungkin ada lebih kelonggaran dan bagaimana pula di zon merah, semuanya akan diperhalusi dan perinciannya akan diumumkan nanti,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Menurutnya, ada beberapa perkara yang perlu ditambah baik dan paling penting kerajaan negeri tidak mahu berlawanan dengan arahan PKP yang diputuskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sementara itu, Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, Teo Kok Seong berkata, apa sahaja keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri adalah dengan mengambil kira keselamatan rakyat.

“Selepas pengumuman dibuat oleh MITI, saya terima banyak pertanyaan daripada pengusaha kedai perkakasan dan bengkel sama ada mereka dibenarkan beroperasi atau tidak.

“Setakat ini saya mohon mereka ikut arahan PKP yang diumumkan sebelum ini dan tunggu pengumuman daripada kerajaan negeri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Mohamed Azmin berkata, kerajaan memutuskan semua sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi ketika PKP diberi kebenaran beroperasi pada kapasiti penuh tanpa sekatan.

Beliau berkata, kebenaran itu bagaimanapun tertakluk kepada kewajipan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi sektor masing-masing.

ARTIKEL BERKAITAN: Boleh mula operasi sepenuhnya esok