X

Kindly register in order to view this article
!

MPM ringankan beban atlet Para sambut Ramadan, Aidilfitri

Megat D Shahriman
A
A

MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) melancarkan kempen Projek Sokongan Atlet Para Covid-19 bagi meringankan beban atlet para negara dalam membuat persiapan menyambut bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Presidennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, projek yang secara rasminya dilancarkan mulai Khamis lalu sehingga akhir Ramadan, merupakan inisiatif terbaharu MPM, atas dasar keprihatinan terhadap nasib atlet para negara yang kebanyakannya daripada keluarga berpendapatan rendah.

"MPM mengalu-alukan sokongan daripada syarikat korporat dan individu berkemampuan untuk memberikan sumbangan tidak kira dalam bentuk wang mahupun barangan.

"MPM berhasrat untuk menyalurkan bantuan makanan dan barangan keperluan asas kepada atlet para dan keluarga mereka sepanjang bulan Ramadan, yang dianggap lebih mencabar dengan krisis semasa Covid-19 yang menyukarkan pergerakan atlet," katanya menerusi satu kenyataan di sini.

Megat turut menyeru pihak yang berkemampuan dan berhasrat memberikan sumbangan melalui projek itu untuk menghubungi MPM.

“Untuk yang menderma wang, mereka boleh menghantar e-mel slip transaksi bank untuk pengeluaran resit bagi mendapatkan pengecualian cukai dan untuk barangan juga sila lampirkan resit pembelian barangan itu untuk diambil tindakan lanjut," katanya.

MPM sebelum ini telah mengagihkan bantuan kepada atlet para meliputi dua fasa iaitu pengagihan Kit Kesihatan pada 7 April lepas untuk fasa pertama diikuti penyerahan barangan keperluan asas kepada atlet pembangunan para bagi fasa kedua pada 21 April.

"Diharap dengan sumbangan ini, ia dapat membantu atlet para negara menjalani ibadah puasa dengan sempurna. Terima kasih kepada semua yang membantu,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!