Masalah tiada bahan mentah dalam kawasan PKPD selesai

Penduduk beratur panjang bagi membeli bahan mentah hari ini.
Penduduk beratur panjang bagi membeli bahan mentah hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rintihan penduduk Taman Sri Murni yang kekurangan bekalan bahan mentah dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mendapat perhatian apabila kerajaan membenarkan penjualan bekalan itu.

Hari ini, peniaga dibawa masuk ke Fasa 3, Taman Sri Murni menggunakan kemudahan lori Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menjual bahan mentah.

Difahamkan, pasar berkenaan dibuka pada setiap Isnin, Rabu dan Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari sepanjang tempoh PKPD sehingga 3 Mei.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Fasa 3 Taman Sri Murni, Sabri Ahmad berkata, penduduk dimaklumkan penjualan bahan itu melalui hebahan pembesar suara jam 8 pagi ini.

"Alhamdulillah selepas seminggu menunggu akhirnya dapat juga bekalan bahan mentah hari ini.

"Kita faham DBKL menghadapi kesulitan untuk mendapatkan peniaga susulan kawasan ini di bawah PKPD, jadi tidak ramai peniaga yang mahu berniaga " katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Sabri Ahmad
Sabri Ahmad

Katanya, walaupun pelaksanaannya disifatkan 'ad-hoc' tetapi pihaknya dimaklumkan akan ada penambahbaikan Rabu ini.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin sudah seminggu tiada bekalan bahan mentah jadi penduduk membuat pembelian panik sehingga ikan dan ayam habis awal.

"Saya sudah memohon supaya kuantiti ditingkatkan selain pembelian ayam dihadkan untuk satu atau dua ekor bagi satu keluarga bergantung bilangan isi rumah," katanya.

Sabri juga memberitahu menerima aduan ada barang dijual pada harga mahal.

"Ada bahan mentah dijual sedikit mahal yang mungkin disebabkan masalah susah dapat bekalan namun saya harap ada pihak yang turun untuk memantaunya," katanya.

Sinar Harian dimaklumkan terdapat seorang penduduk dikenakan bayaran sehingga RM98 untuk pembelian seekor ayam, seekor ikan tongkol, ikan sardin dan beberapa jenis sayur-sayuran.

Ayam, ikan dan sayur yang dibeli dengan harga RM98
Ayam, ikan dan sayur yang dibeli dengan harga RM98

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, DBKL akan menyiasat dakwaan itu dan bercadang meningkatkan jumlah sayur serta ikan pada sesi akan datang.

"Sebanyak dua peniaga di bawah empat kanopi berniaga hari ini. DBKL akan meminta mereka meletakkan tanda harga dan pemantauan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)," katanya ketika dihubungi.

Nor Hisham Ahmad Dahlan
Nor Hisham Ahmad Dahlan

ARTIKEL BERKAITAN: PKPD: Penduduk Taman Sri Murni harap bantuan barang mentah