FAM, MFL perlu buat ketetapan segera

Windsor Paul John
Windsor Paul John
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) perlu membuat keputusan segera mengenai status saingan Liga Malaysia (Liga-M) selepas kerajaan tidak membenarkan sebarang perlawanan liga walaupun setelah tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Menurut Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John, FAM sebagai badan induk bola sepak negara perlu memuktamadkan segera ketetapan mengenai status liga kerana ia melibatkan kepentingan banyak pihak seperti penaja dan pemegang taruh Liga-M.

“FAM dan MFL perlu mencari jalan dan membuat keputusan, sama ada menunggu keputusan kerajaan untuk memberikan peluang meneruskan saingan liga atau terus berbincang dengan semua pemegang taruh untuk meneruskan saingan liga.

“Apa sebenarnya arahan yang diberikan kerajaan? Adakah ia keputusan muktamad atau ada prosedur operasi standard (SOP) yang lain?

“Apa pun FAM perlulah buat keputusan sekarang tetapi selepas berbincang dengan semua pasukan, penaja dan pemenang taruh berhubung perkara berkenaan,” katanya kepada Sukan Sinar semalam.

Windsor Paul berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kelmarin yang menegaskan tiada sebarang perhimpunan beramai-ramai termasuk perlawanan bola sepak dibenarkan walaupun selepas berakhir PKP.

ARTIKEL BERKAITAN: Liga-M: FAM tunggu keputusan rasmi kerajaan

Sementara itu, Windsor Paul berkata, pihaknya mengalu-alukan mana-mana peguam di negara ini untuk memberikan penerangan berhubung klausa frustration of contract yang sememangnya wujud dalam terma Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Artikel Berkaitan:

Katanya, klausa berkenaan dilihat sesuai untuk digunakan ketika ini berikutan timbul isu kontrak bagi pemain, pegawai dan jurulatih sesebuah pasukan yang mungkin terkesan akibat pembatalan saingan Liga-M.

“Sebenarnya kita ada klausa frustration of contract dan ia boleh diguna pakai kerana pembatalan saingan liga atau aktiviti bola sepak hari ini bukan berpunca daripada sesiapa. Bukan salah majikan bukan salah pekerja, cuma tak boleh buat kerja.

“Itulah sebabnya dari dulu saya cakap pemain dengan majikan kena duduk bincang. Kalau tak dapat gaji penuh pun, dapat gaji separuh lebih baik daripada tak dapat gaji langsung.

“Cuma kita mahu tahu bagaimana klausa ini ditafsirkan di negara ini kerana dalam klausa ini ada penyelesaian,” katanya.