Pandangan Tengku Abdul Rahman tepat

Jamal Nasir Ismail (Kanan: Laporan Sinar Harian sebelum ini.)
Jamal Nasir Ismail (Kanan: Laporan Sinar Harian sebelum ini.)
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) disaran memperhalusi pandangan Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah untuk menangguhkan semua acara bola sepak musim ini.

Menurut legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail, pandangan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) itu juga tidak hanya perlu dilihat dalam konteks PBNP sebagai ahli gabungan FAM dan pemegang taruh dalam MFL, malah juga suara bagi semua pihak yang terkesan akibat penangguhan Liga-M sejak 16 Mac lalu.

"Pada saya, pandangan Tengku Muda Pahang bukti keprihatinan baginda terhadap situasi terkini yang sedang melanda iklim bola sepak tidak hanya Malaysia tetapi juga dunia.

"Suara hati Tengku Muda Pahang juga tidak hanya atas kapasiti baginda sebagai Presiden PBNP tetapi sebagai suara yang sering mendampingi para penyokong bola sepak.

"Secara jujur saya seperti penyokong lain mahu liga kembali berlangsung. Tetapi melihat kepada situasi sekarang adalah sukar untuk saingan liga berlangsung secara normal dalam tempoh setahun ini," kepada Sinar Harian semalam.

Jamal Nasir memberitahu, pandangan Tengku Abdul Rahman tepat pada masanya seperti mana yang pernah disarankan beliau sebelum ini supaya Liga-M dibatalkan dan dimulakan kembali tahun depan selepas wabak Covid-19 berakhir.

"Saya juga berharap pemegang taruh lain dalam saingan Liga-M dapat memberi pandangan masing-masing supaya dapat memandu FAM dan MFL dalam membuat keputusan yang tidak hanya tepat tapi lebih bijaksana demi kelangsungan industri bola sepak negara.

"Pembatalan saingan musim ini secara tidak langsung akan membolehkan pasukan dan kelab mendapat lebih ruang bagi menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dengan pemain dan pegawai sebelum kembali merancang hala tuju baharu musim depan," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Kelmarin, Tengku Abdul Rahman menyeru pihak yang bertanggungjawab mengendalikan bola sepak negara untuk meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan pada ketika semua pihak berusaha memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

“Saya percaya semua pandangan yang dilontarkan adalah dibuat atas keprihatinan dan semangat kebersamaan supaya pihak yang bertanggungjawab di dalam pengendalian bola sepak negara dapat membuat keputusan yang terbaik untuk rakyat dan negara.

“Tiada siapa yang boleh menjangkakan bila pengakhiran kepada wabak ini, malah saya difahamkan bahawa pakar yang terbabit dalam kajian penyakit ini juga menjangkakan penemuan vaksin ini hanyalah dapat diperolehi seawal-awalnya dalam masa 12 bulan.

“Pihak kerajaan dan Kementerian Kesihatan juga sudah beberapa kali membuat kenyataan untuk tidak menggalakkan perjumpaan mahupun perhimpunan ramai sekurang-kurangnya enam bulan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu ditamatkan.

“Justeru dengan mengambil kira semua pandangan dan keadaan pandemik ini di seluruh dunia termasuk negara ini, saya amat berharap supaya pihak yang mengendalikan bola sepak negara ini dapat membuat keputusan segera," katanya dalam satu kenyataan yang dipetik dari laman Facebook PBNP.

ARTIKEL BERKAITAN: Tangguh acara bola sepak jalan terbaik: Tengku Abdul Rahman