Tangguh acara bola sepak jalan terbaik: Tengku Abdul Rahman

Kenyataan Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.
Kenyataan Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) menyeru pihak yang bertanggungjawab mengendalikan bola sepak negara untuk meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan pada ketika semua pihak berusaha memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

Menurut Presidennya, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, beliau mengikuti rapat semua pandangan dan perbahasan mengenai keberadaan semua pertandingan bola sepak dalam negara termasuk Liga Malaysia, Piala Malaysia, Piala FA, Piala Presiden, Piala Belia dan Liga Futsal Kebangsaan.

“Saya percaya semua pandangan yang dilontarkan adalah dibuat di atas keprihatinan dan semangat kebersamaan supaya pihak yang bertanggungjawab di dalam pengendalian bola sepak negara dapat membuat keputusan yang terbaik untuk rakyat dan negara.

“Tiada siapa yang boleh menjangkakan bila pengakhiran kepada wabak ini malah saya difahamkan bahawa pakar yang terbabit dalam kajian penyakit ini juga menjangkakan penemuan vaksin ini hanyalah dapat diperolehi seawal-awalnya dalam masa 12 bulan.

“Pihak kerajaan dan Kementerian Kesihatan juga sudah beberapa kali membuat kenyataan untuk tidak menggalakkan perjumpaan mahupun perhimpunan ramai sekurang-kurangnya enam bulan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu ditamatkan.

“Justeru, dengan mengambil kira semua pandangan dan keadaan pandemik ini di seluruh dunia termasuk negara ini, saya amat berharap supaya pihak yang mengendalikan bola sepak negara ini dapat membuat keputusan segera," katanya dalam satu kenyataan yang dipetik dari laman Facebook PBNP hari ini.

Tambah beliau, penangguhan semua acara bola sepak untuk tahun ini adalah jalan terbaik yang membantu keresahan dan kegelisahan semua yang terbabit di dalam industri bola sepak negara.

Pada masa sama Tengku Abdul Rahman secara peribadi merindui suasana kemeriahan di dalam stadium, sorakan penyokong, paluan gendang sehingga bunyian tipuan wisel pengadil.

Artikel Berkaitan:

“Insya-ALLAH kita boleh kembali semula pada tahun depan dengan semangat dan iltizam yang baru untuk terus memeriahkan dan memartabatkan bola sepak negara.

“Bersama-samalah kita meningkatkan kesabaran dan sentiasa berdoa kehadrat ALLAH SWT supaya kita terus diberi kekuatan serta perlindungan oleh-Nya di dalam mengharungi ujian yang luar biasa ini,” kata Tengku Abdul Rahman.