12 tahun terlantar akibat lebihan air dalam kepala

Mohd Hakimi Hakim Mohd Shukri terlantar sejak berumur 14 tahun disebabkan lebihan air di kepala.
Mohd Hakimi Hakim Mohd Shukri terlantar sejak berumur 14 tahun disebabkan lebihan air di kepala.
A
A
A

KOTA BHARU - Berusia sudah 26 tahun tetapi hakikatnya seorang lelaki yang tinggal di rumah pemberian Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan di Kuala Besar dekat sini masih dijaga oleh ibunya seperti seorang bayi yang baharu dilahirkan.

Mohd Hakimi Hakim Mohd Shukri terlantar sejak berumur 14 tahun disebabkan lebihan air di kepala.

Anak bongsu kepada Norma Mahmood, 62, itu mampu mengelipkan mata selain mengeluarkan suara yang hanya mampu difahami ibunya.

Norma berkata, sejak terlantar dengan kudrat tuanya itulah dia menjadi penjaga setia untuk menukarkan lampin, memberi susu dan makan bahkan membersihkan diri anaknya itu.

Ibu kepada tiga anak itu bukan sahaja cekal membesarkan Mohd Hakimi Hakim tetapi dia turut perlu memberi perhatian terhadap anak keduanya, Mohd Azam Hidayat, 29, yang mempunyai ketumbuhan di kepala dan perlu berulang ke hospital.

Norma berkata, dia menganggap itu semua ujian yang perlu tempuhinya dan seharusnya dihadapinya dengan tenang supaya anak-anaknya tidak terabai meskipun jauh di lubuk hati mahu melihat ‘si kecil’ itu gagah seperti insan lain.

“Makcik sedar yang hidup kami tidak mewah tetapi demi anak makcik kena kuat. Kalau diikutkan memang berat dugaan keluarga kami tetapi makcik merasakan ada insan yang lagi teruk dan lebih perlukan perhatian.

“Dengan bantuan JKM ( Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan ‘kasih sayang’ mereka yang bersimpati dengan kami termasuk penghulu dan NGO (badan bukan kerajaan) makcik sedikit lega mahupun ia tidak dapat membantu secara keseluruhannya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Artikel Berkaitan:

Tengku Ibrahim Farihaddin (tengah) melihat keadaan Mohd Hakimi Hakim yang terlantar di rumahnya.
Tengku Ibrahim Farihaddin (tengah) melihat keadaan Mohd Hakimi Hakim yang terlantar di rumahnya.

Menurutnya, dia tidak sesekali berputus asa untuk menjaga anaknya biarpun dia sendiri juga menanggung derita masalah usus dan perlu berulang ke hospital untuk rawatan.

“Baru beberapa bulan lalu makcik jalani pembedahan menggantikan usus yang rosak. Jadi sekarang ini mahu buat benda berat memang makcik akan terasa sakit lagi.

“Cuma makcik teruskan berdoa supaya diberikan kekuatan untuk berpuasa penuh tahun ini dan dikurniakan kesihatan baik supaya makcik dapat menjaga anak-anak sesempurna mungkin,” katanya.

Katanya, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini ia memberi rahmat kepada keluarganya kerana selalu ada bantuan yang sampai dan dengan sumbangan itulah dia perlu berjimat cermat.

“Kalau dulu makcik boleh bekerja, ambil upah jadi tukang cuci, tukang kebun dan macam-macam tetapi sekarang itu semua sudah tidak dapat dilakukan lagi," katanya.

Norma berkata, selain mengharapkan bantuan bulanan JKM anak sulungnya yang bekerja swasta di Kuala Lumpur turut membantu sekadar mampu.

Kisah Norma itu mendapat perhatian Pertubuhan Kerabat D'Raja Kelantan Al-Muhammadi yang mana Bendaharinya, Datuk Tengku Ibrahim Farihaddin Datuk Tengku Feissal bersama Pegawai Khas, Mohd Shaifuddin Kamarulzaman tampil menghulurkan bantuan.

Sementara itu, Tengku Ibrahim Farihaddin berkata, beliau akan berusaha mendapatkan bantuan sewajarnya untuk membantu Norma dan anak-anaknya.

Selain bantuan makanan, beliau juga menyediakan tangki air kepada Norma bagi memudahkan tugas hariannya memandangkan kesihatannya tidak mengizinkan untuk mendapatkan air dari sumber yang sedia ada kerana jaraknya agak membataskan pergerakannya ketika ini.

“Saya bersimpati dengan keluarga ini dan juga kecekalan kasih sayang seorang ibu membesarkan anak-anaknya dengan keadaan sebegini. Jadi hari ini saya sediakan terus tangki air seperti yang dimintanya,” katanya.