Pemain Arsenal dibenarkan berlatih

Sebahagian pemain Arsenal menjalani latihan. - Foto goal.com
Sebahagian pemain Arsenal menjalani latihan. - Foto goal.com
A
A
A

BIARPUN pandemik Covid-19 masih berleluasa di England, skuad Liga Perdana Inggeris (EL) Arsenal, telah mendapat ‘lampu hijau’ untuk kembali mengadakan sesi latihan pasukan.

Jurucakap Arsenal berkata, kenyataan berkenaan sekali gus bakal menyaksikan kesebelasan Arsenal disahkan mendapat kebenaran untuk kembali menjalani sesi latihan di kompleks latihan London Colney, esok.

Bagaimanapun menurut jurucakap skuad The Gunners itu, sesi latihan berkenaan masih terikat dengan peraturan penjarakan sosial sebagaimana yang telah ditetapkan sebelum ini.

“Kesebelasan pemain telah mendapat kebenaran akses ke padang latihan London Coney, minggu hadapan.

“Namun akses berkenaan adalah terhad apabila ia akan diuruskan dengan penuh berhati-hati dengan mengamalkan penjarakan sosial di sepanjang masa.

“Dalam masa sama, semua bangunan di Colney akan terus ditutup. Pemain akan datang sendiri ke sini (Padang Colney), lakukan latihan bersendirian dan kemudiannya pulang ke rumah masing-masing,” menurut jurucakap berkenaan.

Untuk rekod, pengendali Arsenal, Mike Arteta sebelum ini telah didiagnos pada Mac apabila menjadi sebagai individu pertama yang disahkan positif Covid-19 dalam saingan EPL

Difahamkan, kompleks latihan berkenaan memiliki 10 padang latihan dengan semua pasukan dijangka memanfaatkan kebenaran (latihan) itu selain memastikan kesebelasan pemain mengekalkan jarak yang selamat sesama mereka.

Artikel Berkaitan:

Arsenal kini berada pada kedudukan kesembilan dalam saingan EPL ketinggalan lapan mata kepada Chelsea yang menduduki tempat keempat.

Sementara itu menurut jurucakap berkenaan, empat pemain Arsenal telah diberikan amaran awal minggu lalu apabila dikesan melanggar peraturan penjarakan sosial.

Katanya, pihak pengurusan pasukan akan bertemu dan bercakap dengan kesemua pemain berkenaan khususnya bagi menerangkan mengenai kepentingan penjarakan sosial berkenaan.

“Kita telah bercakap dengan Nicolas (Pepe) yang dikesan berkongsi kediaman dengan saudara maranya yang terlibat dalam sukan bola sepak.

“Kami juga telah memberitahunya mengenai kepentingan untuk semua pihak mengamalkan peraturan penjarakan sosial ketika ini,” katanya.

Untuk rekod, masih belum ada sebarang keputusan berhubung cadangan pembatalan bagi saingan EPL musim ini biarpun pihak Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah menyarankan agar saingan domestic perlu disempurnakan dengan segera.

Bagaimanapun ketika ini difahamkan saingan Liga Belanda sudah pun melabuhkan tirai tanpa menobatkan pemenang, pasukan yang 'dinaikkan pangkat’ termasuk pasukan yang mengalami penyingkiran dari saingan liga utama.