DAP mahu kekalkan Kerajaan Pulau Pinang untuk penggal kelima

Steven (tiga dari kiri) bersama barisan tertinggi DAP menyanyikan lagu DAP pada Konvensyen Tahunan DAP Negeri Pulau Pinang 2026 pada Ahad.
Steven (tiga dari kiri) bersama barisan tertinggi DAP menyanyikan lagu DAP pada Konvensyen Tahunan DAP Negeri Pulau Pinang 2026 pada Ahad.
A
A
A

GEORGE TOWN – DAP Pulau Pinang bertekad memastikan kerajaan negeri yang dipimpin parti itu terus kekal berkuasa untuk penggal kelima pada pilihan raya akan datang.

Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim berkata, walaupun kepimpinan parti belum mengumumkan calon Ketua Menteri seterusnya, DAP Pulau Pinang akan memastikan calon yang dipilih parti untuk jawatan itu berasal daripada DAP.

Beliau berkata, pihaknya menghormati arahan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke supaya ahli parti tidak terlalu membincangkan siapa yang bakal menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang selepas ini.

“Saya sendiri tidak pernah sebut siapa akan jadi Ketua Menteri.

“Tetapi saya nak beritahu Setiausaha Agung, DAP Pulau Pinang akan memastikan bahawa tidak kira siapa yang parti pilih sebagai calon Ketua Menteri, kami akan memastikan beliau ialah calon daripada DAP dan kerajaan negeri yang dipimpin DAP akan kekal untuk penggal kelima,” katanya.

Turut hadir, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, Penasihat DAP, Lim Guan Eng dan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Steven berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Konvensyen Tahunan Negeri DAP Pulau Pinang di sini pada Ahad.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu menambah, Penang 3.0 juga menandakan pentadbiran Ketua Menteri ketiga daripada DAP sekali gus menjadi kesinambungan kepada kepimpinan parti itu di negeri berkenaan.

Beliau berkata, kemenangan dalam pilihan raya akan datang memerlukan komitmen seluruh anggota parti untuk bekerja sebagai satu pasukan dan memastikan sokongan rakyat terus diberikan kepada DAP.

Dalam pada itu, Steven menambah, DAP Pulau Pinang menetapkan tiga misi utama dan dua strategi penting sebagai panduan parti itu menghadapi pilihan raya akan datang serta memastikan kemenangan terus berpihak kepada mereka.

Menurutnya, tiga misi utama itu ialah mengekalkan status Pulau Pinang sebagai negeri barisan hadapan pembangunan ekonomi Malaysia, melindungi identiti kepelbagaian agama, budaya dan kaum serta membina masyarakat penyayang yang memastikan golongan lemah mendapat perlindungan.

"Misi berkenaan penting bagi memastikan pembangunan negeri berjalan seiring dengan usaha menjaga keharmonian masyarakat dan kebajikan rakyat," tambahnya.

Selain itu katanya, DAP Pulau Pinang turut menggariskan dua strategi utama iaitu khidmat dan perpaduan.

Tambahnya, parti perlu menjadi organisasi yang mampu memberikan perkhidmatan kepada rakyat Pulau Pinang sepanjang masa, bukan sekadar hadir dalam majlis kenduri atau acara masyarakat.

“Khidmat bukan bermaksud hadir kenduri kendara semata-mata. Itu penting, tetapi lebih penting lagi, kita perlu menyelesaikan masalah dan kesusahan rakyat.

"Strategi perpaduan pula menuntut seluruh ahli DAP supaya mengukuhkan hubungan dan bergerak sebagai satu pasukan dalam menghadapi pilihan raya.

“Saya merayu kepada semua supaya kita memperkukuhkan perpaduan semua ahli DAP Pulau Pinang untuk menghadapi pilihan raya sebagai satu pasukan yang kuat,” katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!