Ini sebab ramai tak tahu DJFuzz anak Farit Ismeth

Foto kenangan DJFuzz bersama ayahnya, Farit Ismeth.
Foto kenangan DJFuzz bersama ayahnya, Farit Ismeth.
A
A
A

[PROFIL DI SEBALIK BERITA] Kedua-dua mereka mencipta nama dalam kerjaya masing-masing, tanpa saling bergantung.

Farit Ismeth Emir tersohor sebagai penyampai berita bersuara emas yang menghiasi kaca televisyen RTM sejak lebih 30 tahun lalu.

Mempunyai gaya penyampaian yang tersendiri, ramai rakyat Malaysia membesar dan mengingati beliau menerusi mutiara kata yang acapkali diungkapkannya pada penutup segmen berita.

‘Fikir-fikirlah...’ itu antara perkataan yang sering digunakan beliau.Sama seperti Farit yang menggunakan kelunakan suara untuk membina kerjaya, DJFuzz pula ialah komposer, deejay dan artis hip hop yang cukup dikenali dalam industri muzik tanah air.

Pernah mencipta nama menerusi kumpulan Teh Tarik Crew bersama Altimet, Mizz Nina dan Fiquetional, DJFuzz juga popular dengan lagu Cerita Kedai Kopi yang dikaryakannya bersama penyanyi Malique dan Salam.

Tetapi tidak ramai rakyat Malaysia yang mengetahui kedua-dua figura itu sebenarnya mempunyai pertalian darah.

Hanya selepas Farit menghembuskan nafas terakhir pada usia 66 tahun awal pagi Isnin lalu dan pemergian itu dikongsi DJFuzz, barulah ramai yang mengetahui pembaca berita tersohor itu adalah ayah kepada bintang hip hop Malaysia.

“Tak ramai orang tahu sebab dulu papa (ayah) selalu pesan. Kalau hendak bermula dalam industri muzik, tidak perlu ambil popularitinya. Sebab itu jalan pintas, orang akan kenal sekejap sahaja. Lebih baik gunakan keistimewaan diri sendiri untuk berjaya,” kongsi DJFuzz atau nama sebenarnya Farzwa De-Attaher Emir Farit, 43.

Artikel Berkaitan:



Ketika ditanya lanjut mengenai Allahyarham, ungkap DJFuzz, pada mata beliau, Farit bukan hanya semata-mata seorang ayah, bahkan pembaca berita program Dunia Jam 10 itu bagaikan seorang motivator dalam hidupnya.

Katanya, ramai yang mungkin tidak tahu, Farit orang yang sangat gemar membaca buku sehingga pada kebanyakan masa tangannya tidak boleh berpisah dengan bahan bacaan.“Siapa-siapa yang kenal papa mesti tahu dia gemar membaca, tiap-tiap hari papa mesti membaca buku. Bagi papa, orang yang berjaya, adalah yang rajin membaca dan mencari ilmu.

“Malah, kerana selalu tengok papa membaca, saya pun terpengaruh untuk membaca buku pada masa senggang,” kata anak sulung daripada tujuh beradik itu.

Tambahnya, kerana minat membaca itu juga, Farit sentiasa melihat hidup dari sudut yang positif.

“Papa motivator dan inspirasi dalam hidup saya. Kalau saya ada masalah atau berdepan dengan apa-apa isu, memang papa lah yang saya cari.

“Papa orang yang bijak dan sentiasa ada jawapan untuk setiap isu yang saya tanyakan. Kalau saya hilang semangat, papa akan cadangkan tajuk-tajuk buku yang bersesuaian. Malah, buku-buku tentang bisnes pun papa kerap kongsi untuk idea bisnes saya,” imbau DJFuzz kepada Sinar Ahad kelmarin.

Bagi DJFuzz (kanan), Allahyarham Farit (kiri) bukan sekadar seorang ayah bahkan motivator dalam hidupnya.
Bagi DJFuzz (kanan), Allahyarham Farit (kiri) bukan sekadar seorang ayah bahkan motivator dalam hidupnya.

Ketika ditanya mengenai gaya penyampai unik dan mutiara kata Allahyarham Farit yang kini dirindui rakyat Malaysia, kata DJFuzz, memang sejak dulu Allahyarham berpesan kepadanya bahawa untuk berjaya seseorang itu perlu mencari kelainan dan keistimewaan diri.

“Dulu masa muda-muda memang saya tengok papa selalu berlatih membaca berita di depan cermin. Papa selalu cakap dia kena buat cara lain daripada orang lain. Biarpun pelik mula-mula tapi kemudian mesti orang ingat,” katanya yang mengakui banyak iklan TV satu masa dulu turut menggunakan suara Allahyarham.

Menyentuh mutiara kata yang sering dikongsikan Allahyarham pada penghujung program beritanya, DJFuzz memberitahu, kata-kata pujangga itu berdasarkan pengalaman Allahyarham sendiri dan ada juga yang diambil daripada buku-buku motivasi.

“Ikutkan papa memang ada terlintas untuk tulis kata-kata pujangga itu. Malah tahun 2010, papa ada ajak saya menulis, katanya papa tulis buku pujangga, saya tulis buku berkaitan karier saya. Tapi sampai hari ini papa tidak sempat membukukan mutiara kata itu,” kata komposer itu sambil memaklumkan tiada adik-beradiknya yang setakat ini mengikut jejak Allahyarham dalam bidang penyiaran.

Bercerita lanjut mengenai penyakit kanser yang dihidapi Farit itu, kongsi DJFuzz, ayahnya hanya memaklumkan kepada beliau dan beberapa ahli keluarga lebih sebulan lalu mengenai penyakitnya itu.

“Papa memang tidak beritahu apa-apa sebelum ini, tidak pasti sama ada beliau sendiri simpan atau baru tahu. Yang saya tahu, papa memang ada sakit-sakit orang tua macam darah tinggi dan memang beliau ada ambil ubat.

“Tapi hanya awal Mac lalu, papa beritahu ada penyakit kanser dan sudah sampai tahap empat. Masa itu memang kami cuba fikir yang positif lagi, akan buat rawatan dan sebagainya selepas Perintah Kawalan Pergerakan. Tapi tidak lama selepas itu, papa cakap sakit sangat badan dan terus dimasukkan ke hospital.“Pada malam Ahad itu memang saya sempat jumpa papa di hospital, memang sedih sebab semuanya seperti terlalu pantas,” katanya yang reda melalui bulan Ramadan kali ini tanpa ayah bersuara emas itu.

Seperti kata pepatah, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, Farit akan terus dikenang sebagai pemilik suara emas dengan bakat yang luar biasa.Mungkin mutiara kata Allahyarham yang satu ini wajar jadi ingatan kita: “Saudara, demi sebuah kejayaan yang berkekalan anda bukan hanya perlukan bakat atau kemampuan menyelesaikan masalah. Tetapi yang paling penting anda perlukan disiplin yang tinggi. Fikir-fikirkanlah....”

  • Farit Ismeth Emir
  • Tarikh lahir: 26 Oktober 1954
  • Asal: Teluk Intan, Perak
  • Meninggal dunia: 20 April 2020
  • Nama gelaran: Pak Ngah
  • Nama isteri: Noor Ashikin Othman
  • Anak: 7 orang