75 tahun Pas Kedah: Menyingkap sejarah, membina kekuatan masa hadapan

Sambutan 75 tahun Pas Kedah membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar memperingati usia sebuah parti politik.
Sambutan 75 tahun Pas Kedah membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar memperingati usia sebuah parti politik.
A
A
A

SAMBUTAN 75 tahun Pas Kedah membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar memperingati usia sebuah parti politik. Acara kemuncaknya, iaitu pembukaan kapsul masa yang mengandungi amanat warisan Allahyarham Ustaz Fadzil Noor oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mempunyai simbolisme tersendiri.

Ia seolah-olah menghubungkan tiga zaman – perjuangan generasi terdahulu, kedudukan Pas Kedah pada hari ini dan persoalan tentang apakah warisan yang mahu ditinggalkan kepada generasi akan datang.

Akar organisasi Pas di Kedah dapat ditelusuri sekurang-kurangnya sejak penubuhan Pas Cawangan Bukit Besar pada 6 September 1952 di Madrasah an-Nahdhah di bawah pimpinan Tuan Guru Haji Othman al-Yunusi.

Sejak itu, Pas Kedah telah melalui hampir keseluruhan kitaran kehidupan sebuah parti demokratik: menjadi pembangkang, menyertai pentadbiran dalam era kerjasama dengan Perikatan dan Barisan Nasional (BN) pada 1970-an, menerajui kerajaan negeri pada 2008, kehilangan kuasa pada 2013 dan kembali memimpin Kedah pada 2020.

Pengalaman turun naik ini sebenarnya merupakan antara kekuatan penting Pas Kedah. Ia membentuk sebuah organisasi yang mengenali kedua-dua sisi politik – bagaimana bertahan ketika berada di luar pemerintahan dan bagaimana memikul amanah apabila memperoleh kuasa.

Dalam politik, pengalaman kalah kadangkala sama penting dengan pengalaman menang kerana kedua-duanya menguji ketahanan organisasi, disiplin kepimpinan dan kesetiaan akar umbi.

25 tahun menuju 100 tahun: Mengurus kejayaan

Kembalinya Pas menerajui Kedah pada Mei 2020 berlaku dalam keadaan berbeza daripada kemenangan pada 2008. Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilantik sebagai Menteri Besar selepas Sultan Kedah mendapati beliau memperoleh sokongan majoriti ADUN, susulan kehilangan sokongan majoriti terhadap pentadbiran Mukhriz Mahathir. Kerajaan 2020 dengan itu lahir melalui perubahan majoriti dalam Dewan, bukannya melalui pilihan raya negeri baharu.

Namun, legitimasi politik pentadbiran tersebut akhirnya diuji secara langsung melalui peti undi. Selepas PRU15 pada November 2022, landskap politik berubah apabila Kerajaan Persekutuan dibentuk oleh gabungan pimpinan PH, sedangkan Kedah kekal di bawah Pas-PN.

Keadaan ini menjadikan hubungan politik antara Pusat dengan negeri lebih mencabar, sementara PRN pada Ogos 2023 menjadi ujian besar terhadap pentadbiran negeri dan kepimpinan Sanusi.

Keputusannya cukup jelas. PN memenangi 33 daripada 36 kerusi DUN dan memperoleh 68.93 peratus undi popular. Pas pula memenangi kesemua 21 kerusi yang ditandinginya.

Dari sudut analisis politik, keputusan ini penting kerana kerajaan yang terbentuk melalui perubahan majoriti pada 2020 memperoleh pengesahan langsung daripada pengundi tiga tahun kemudian. Ia bukan lagi sekadar persoalan siapa mempunyai angka majoriti dalam Dewan, tetapi mandat pilihan raya yang menunjukkan tahap konsolidasi sokongan yang tinggi terhadap PN, khususnya Pas, dalam kalangan pengundi Kedah.

Mengapa Kedah penting kepada politik nasional?

Kedah kadangkala digambarkan sebagai gambaran kecil Malaysia. Dari sudut demografi, perbandingan itu tidak sepenuhnya tepat kerana komposisi Melayu-Bumiputera di Kedah lebih tinggi daripada purata nasional. Namun, dari sudut struktur sosial dan ekonomi, Kedah mempunyai kerencaman yang menjadikannya sebuah makmal politik yang menarik.

Di satu sisi terdapat kawasan luar bandar, sawah dan masyarakat tradisional; di sisi lain terdapat kawasan bandar, masyarakat pelbagai kaum, Kulim Hi-Tech Park (KHTP) sebagai pusat industri berteknologi tinggi serta Langkawi sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.

Ekonomi Kedah pada 2025 bernilai RM56.3 bilion dan berkembang sebanyak 4.1 peratus. Sektor perkhidmatan menyumbang 56.0 peratus kepada ekonomi negeri, diikuti sektor pembuatan sebanyak 30.1 peratus dan pertanian sebanyak 10.5 peratus.

Nilai strategik itu lebih jelas melalui Kulim. KHTP merupakan sebahagian penting daripada ekosistem teknologi dan semikonduktor wilayah utara yang turut saling melengkapi dengan Pulau Pinang.

Pada separuh pertama 2024, KHTP menarik sekitar RM30.3 bilion pelaburan yang diluluskan. Infineon pula mengumumkan tambahan pelaburan sekitar RM30.1 bilion untuk pengembangan kemudahannya di Kulim.

Dalam masa yang sama, Kedah kekal sebagai jelapang utama negara. Pada 2024, negeri itu menghasilkan 777,021 tan metrik padi, iaitu hampir 38 peratus daripada keseluruhan pengeluaran Malaysia.

Langkawi memberikan satu lagi dimensi melalui sektor pelancongan, sementara potensi sumber baharu seperti hidrokarbon di Lembangan Langkasuka membuka kemungkinan ekonomi masa hadapan, walaupun aktiviti itu masih pada peringkat eksplorasi dan belum boleh dianggap sebagai sumber komersial yang pasti.

Kombinasi pertanian, teknologi tinggi, pelancongan dan kepelbagaian kawasan bandar serta luar bandar menjadikan Kedah penting kepada persaingan politik nasional.

Keupayaan Pas mentadbir negeri dengan struktur ekonomi seperti ini boleh mempengaruhi persepsi masyarakat terhadap kemampuannya bergerak daripada sebuah parti yang kuat dalam politik Melayu-Islam kepada sebuah parti pemerintahan yang mampu mengurus ekonomi moden.

Sudah tentu, kejayaan mentadbir Kedah tidak secara automatik membuktikan kemampuan mentadbir Malaysia. Kerajaan Persekutuan jauh lebih kompleks, melibatkan kepelbagaian masyarakat yang lebih luas serta dinamika Sabah dan Sarawak.

Namun, jika Pas dapat menunjukkan kestabilan, keterbukaan dan prestasi di Kedah, pengalaman itu boleh menjadi salah satu petunjuk yang digunakan masyarakat untuk menilai kapasiti pemerintahan parti tersebut.

Dalam konteks inilah Kedah menjadi medan yang strategik kepada PH-BN dalam PRN 2023. Kekalahan PN di Kedah ketika itu bukan sahaja akan membawa pertukaran kerajaan negeri, tetapi berpotensi melemahkan naratif bahawa Pas mampu mengembangkan model pemerintahan di luar Kelantan dan Terengganu. Sebaliknya, keputusan memenangi 33 kerusi mengukuhkan kedudukan Pas-PN di koridor utara.

Kekuatan Pas Kedah: Parti, kerajaan dan kepimpinan

Salah satu faktor yang membantu kestabilan Pas Kedah ialah pembahagian peranan antara kepimpinan kerajaan dengan organisasi parti. Sanusi menjadi wajah utama pentadbiran negeri, sementara Pesuruhjaya Pas Kedah, Ahmad Yahaya, memainkan peranan dalam mengemudi organisasi. Di belakang kedua-duanya terdapat barisan Exco, ADUN dan jentera akar umbi yang membentuk struktur parti dan kerajaan.

Gandingan ini turut memberikan ruang kepada Pas menterjemahkan konsep yang sering disebutnya – ulama, profesional dan aktivis – daripada slogan kepada pembentukan barisan kepimpinan.

Namun, ukuran sebenar bukan sekadar latar belakang seseorang calon. Yang lebih penting ialah sama ada kepelbagaian pengalaman dan kepakaran itu dapat menghasilkan keputusan pentadbiran yang baik.

Beberapa petunjuk prestasi boleh diperhatikan. Kerajaan Kedah mencatat kutipan hasil sebanyak RM816 juta pada 2025, melepasi sasaran RM790 juta dan, menurut kerajaan negeri, merupakan kutipan tertinggi dalam tempoh 25 tahun.

Pada masa yang sama, perkembangan industri teknologi tinggi memberikan dimensi penting kepada imej pemerintahan Pas Kedah. Pengalaman mengurus negeri yang turut menerima pelaburan dalam sektor semikonduktor dan industri berteknologi tinggi menunjukkan bahawa pentadbiran Pas di Kedah tidak lagi boleh dinilai hanya melalui sektor tradisional seperti pertanian.

Namun, dalam hal ini, analisis perlu dilakukan secara adil. Pelaburan besar tidak boleh dikreditkan kepada kerajaan negeri semata-mata. Ia turut bergantung kepada dasar Persekutuan, MIDA, keadaan ekonomi global, infrastruktur serta ekosistem industri yang telah dibina selama beberapa dekad.

Nilai politiknya ialah kerajaan negeri menunjukkan keupayaan bekerja dalam sebuah struktur ekonomi kontemporari dan menyesuaikan pentadbirannya dengan tuntutan pelaburan moden.

Dengan kata lain, cabaran Pas bukan untuk membuktikan bahawa ia boleh meninggalkan pertanian, tetapi menunjukkan bahawa ia mampu mengurus kedua-duanya serentak – mempertahankan Kedah sebagai jelapang negara sambil membangunkan negeri sebagai pusat teknologi dan industri bernilai tinggi.

25 tahun menuju 100 tahun: Mengurus kejayaan

Selepas kemenangan 33 daripada 36 kerusi, cabaran Pas Kedah bukan lagi semata-mata bagaimana menewaskan lawan politik. Cabaran yang lebih besar ialah bagaimana mengurus kejayaan.

Majoriti yang besar menghasilkan kestabilan, tetapi kestabilan yang terlalu selesa juga boleh melahirkan kelemahan: budaya tidak ditegur, rasa terlalu yakin, perebutan pengaruh serta anggapan bahawa sokongan rakyat akan kekal selama-lamanya.

Dalam politik, musuh yang paling sukar dilihat kadangkala bukan berada di luar organisasi, tetapi lahir daripada rasa selesa di dalamnya.

Pas Kedah pernah menekankan bahawa misi politiknya bukan sekadar memenangkan pilihan raya, tetapi membina pemerintahan berteraskan keadilan, kebajikan dan ketelusan.

Prinsip itu perlu menjadi ukuran terhadap dirinya sendiri. Bagi tempoh 25 tahun menuju usia 100 tahun, Pas Kedah perlu bergerak daripada politik kebajikan semata-mata kepada politik penyelesaian dan kompetensi.

Isu air, pekerjaan berkualiti, perumahan, produktiviti padi, pembangunan bandar, pendidikan, mobiliti sosial dan keupayaan menarik pekerjaan berpendapatan tinggi akan menjadi ukuran generasi baharu.

Tapak sosial parti juga perlu diperluas. Kekuatan dalam kalangan masyarakat Melayu luar bandar mesti disertai dengan usaha membina keyakinan masyarakat Cina dan India, golongan profesional, kelas menengah bandar, wanita serta generasi muda.

Sebuah parti pemerintahan tidak memadai dengan mempunyai penyokong yang setia; parti itu memerlukan kepercayaan daripada masyarakat yang mungkin tidak berkongsi keseluruhan ideologinya, tetapi yakin terhadap keadilan dan kompetensi pentadbirannya.

Kedah juga berpotensi menjadi pusat pemikiran dasar Pas. Pengalaman mengurus pertanian, semikonduktor, pelancongan, air, hubungan Persekutuan-negeri dan pembangunan wilayah boleh dijadikan makmal untuk membangunkan penyelesaian dasar yang lebih luas.

Pada masa yang sama, institusi mesti lebih kuat daripada individu. Sanusi mungkin menjadi aset politik penting pada zamannya, tetapi kesinambungan Pas Kedah tidak boleh bergantung kepada seorang personaliti.

Sistem pelapis, pemindahan pengalaman pemerintahan dan pembentukan generasi kepimpinan kedua serta ketiga perlu dilakukan sebelum keperluan itu menjadi mendesak.

Akhirnya, ukuran menuju usia 100 tahun bukanlah berapa banyak kerusi yang pernah dimenangi. Ukurannya ialah sama ada Pas Kedah berjaya meninggalkan institusi yang kukuh, generasi pemimpin yang kompeten, ekonomi yang berkembang, rakyat yang sejahtera dan budaya pemerintahan yang mampu bertahan melampaui seorang tokoh serta satu generasi.

Kapsul masa yang dibuka pada usia 75 tahun membawa amanat daripada generasi terdahulu. Persoalan yang lebih besar sekarang ialah: apakah warisan yang mahu Pas Kedah tinggalkan untuk dibuka kembali 25 tahun akan datang?

Jika 75 tahun pertama ialah kisah tentang membina perjuangan dan mendapatkan kepercayaan, maka 25 tahun berikutnya membawa ujian yang jauh lebih besar – memelihara kepercayaan melalui prestasi.

*Dr Mukhtaruddin Musa ialah Ketua Penyelidik (Governans dan Polisi) Yayasan Strategik Lestari (YSL) dan pemerhati politik semasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!