BDB kembali untung RM5.06 juta sembilan bulan pertama 2026

Bina Darulaman Berhad menyaksikan peningkatan prestasi kewangan sebanyak RM16.88 juta, sekali gus mencerminkan momentum pemulihan kumpulan yang semakin positif.
Bina Darulaman Berhad menyaksikan peningkatan prestasi kewangan sebanyak RM16.88 juta, sekali gus mencerminkan momentum pemulihan kumpulan yang semakin positif.
A
A
A

BINA Darulaman Berhad (BDB) kembali mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM5.06 juta bagi tempoh sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2026, berbanding kerugian RM11.82 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Pencapaian itu menyaksikan peningkatan prestasi kewangan sebanyak RM16.88 juta, sekali gus mencerminkan momentum pemulihan kumpulan yang semakin positif.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Che Abdul Khalid Md Din berkata, pencapaian tersebut didorong terutamanya oleh pemulihan segmen Pembangunan Hartanah, pengurangan kerugian segmen Kejuruteraan dan Pembinaan serta penurunan perbelanjaan operasi.

Che Abdul Khalid
Che Abdul Khalid

Menurutnya, BDB turut merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM3.30 juta berbanding kerugian RM11.82 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, hasil kumpulan menurun kepada RM185.65 juta berbanding RM278.95 juta susulan hasil daripada aktiviti pembinaan yang lebih rendah.

"Walaupun hasil kumpulan menurun, keuntungan kasar meningkat 88.8 peratus kepada RM28.39 juta, manakala margin keuntungan kasar bertambah baik kepada 15.3 peratus berbanding 5.4 peratus sebelumnya.

"Perbelanjaan operasi juga berjaya dikurangkan sebanyak 17.4 peratus kepada RM24.16 juta, sekali gus membantu meningkatkan prestasi kewangan kumpulan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, BDB turut mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM855,000 berbanding kerugian RM6.42 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Katanya, pencapaian itu disokong peningkatan keuntungan kasar serta pengurusan perbelanjaan operasi yang lebih berkesan.

"Pembangunan hartanah muncul antara pemacu utama pemulihan apabila merekodkan hasil RM54.35 juta dan keuntungan segmen RM4.10 juta berbanding kerugian RM8.25 juta sebelumnya.

"Peningkatan itu disokong pengiktirafan hasil jualan hartanah lebih tinggi, kemajuan projek pembangunan serta prestasi jualan hartanah di Axis," ujarnya.

Sementara itu, segmen Pembinaan Jalan Raya dan Kuari terus menjadi penyumbang keuntungan utama dengan merekodkan hasil RM89.46 juta serta keuntungan segmen RM2.96 juta.

Prestasi tersebut disokong aktiviti pembinaan jalan raya dan operasi kuari meskipun berdepan sumbangan kerja penurapan jalan lebih rendah serta margin kontrak yang lebih kecil.

Bagi segmen Kejuruteraan dan Pembinaan, kerugian berjaya dikurangkan kepada RM1.73 juta berbanding RM3.42 juta dalam tempoh sama tahun lalu hasil inisiatif penjimatan kos, pelarasan kos projek NRW Perlis serta peningkatan kecekapan pengurusan dan pelaksanaan projek.

Segmen Leisure pula mencatatkan peningkatan hasil kepada RM5.42 juta berbanding RM4.57 juta sebelumnya, namun masih merekodkan kerugian RM1.34 juta berikutan peningkatan kos operasi dan penutupan sementara Classic Cafe.

Dalam perkembangan berkaitan, Che Abdul Khalid berkata, BDB akan terus memperkukuh prestasi operasi, memastikan pelaksanaan projek lebih berkesan serta meningkatkan jualan dan kutipan bayaran hartanah bagi mengekalkan momentum pertumbuhan.

Katanya, kontrak Penyelenggaraan Jalan Negeri Kedah bernilai RM251.65 juta untuk tempoh 60 bulan yang dilaksanakan BDB Infra Sdn Bhd dijangka terus menyumbang kepada kestabilan dan kesinambungan hasil kumpulan.

Bagi segmen Kejuruteraan dan Pembinaan, tumpuan diberikan kepada penyempurnaan projek sedia ada termasuk baki kerja Loji Rawatan Air Pelubang serta projek Integrated Business Centre (IBC) bernilai RM11.5 juta di Kedah Rubber City, Padang Terap.

"Untuk Pembangunan Hartanah, keutamaan diberikan kepada peningkatan jualan dan kutipan bayaran pelanggan serta mempercepat kemajuan pembangunan di Bandar Darulaman, Darulaman Saujana dan Aman Nusa.

"Segmen Leisure pula akan mempergiat aktiviti komersial dan mengoptimumkan penggunaan aset di destinasi utama termasuk Darulaman Park, Darulaman Golf & Country Club, Fantasia Aquapark, Darulaman Sanctuary dan The LAB," katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!