Trump dakwa AS boleh ambil apa sahaja daripada sumber nadir bumi Ukraine

WASHINGTON - Presiden Donald Trump berkata, Amerika Syarikat (AS) berhak mengakses sumber mineral nadir bumi Ukraine berdasarkan perjanjian antara kedua-dua negara, malah mendakwa Washington boleh "mengambil hampir apa sahaja yang dikehendaki”, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam wawancara dengan Real America’s Voice yang disiarkan pada Jumaat, Trump berkata, Ukraine mempunyai tanah yang "sangat kaya dan subur” dari segi kandungan mineral nadir bumi.
"Kami telah menandatangani kontrak berkaitan nadir bumi. Kami boleh masuk ke sana pada bila-bila masa dan mengambil hampir apa sahaja yang kami mahu. Itu satu perjanjian yang agak baik,” kata beliau.
Perjanjian yang dimeterai di Washington tahun lepas itu dicapai selepas rundingan sukar selama beberapa bulan serta pertikaman lidah antara Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy dengan Trump di Pejabat Oval.
Berdasarkan perjanjian berkenaan, Kyiv dan Washington akan menubuhkan sebuah dana pelaburan yang dibiayai sebahagiannya menerusi hasil sektor pengekstrakan sumber asli Ukraine. - Bernama-Anadolu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
