DRB-HICOM raih untung pra-cukai RM335.59 juta bagi S3 2026

DRB-HICOM catat keuntungan pra-cukai RM335.59 juta bagi S3 2026 meningkat lebih lima kali ganda berbanding RM64.74 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.
DRB-HICOM catat keuntungan pra-cukai RM335.59 juta bagi S3 2026 meningkat lebih lima kali ganda berbanding RM64.74 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.
A
A
A

DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) mencatatkan keuntungan pra-cukai sebanyak RM335.59 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (S3 2026) meningkat lebih lima kali ganda berbanding RM64.74 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Peningkatan ketara itu didorong sumbangan lebih tinggi daripada segmen Mobiliti, Hartanah dan Perbankan, disokong peningkatan jualan, prestasi operasi lebih baik serta pengurusan kos yang berkesan.

Dalam kenyataannya, DRB-HICOM berkata, hasil Kumpulan meningkat 35.4 peratus kepada RM6.08 bilion berbanding RM4.49 bilion pada S3 2025 susulan peningkatan hasil merentasi semua segmen perniagaan.

"Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026 (9B 2026), DRB-HICOM merekodkan keuntungan pra-cukai sebanyak RM676.11 juta, meningkat lebih dua kali ganda berbanding RM280.55 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

"Hasil Kumpulan turut meningkat 28.3 peratus kepada RM16.34 bilion berbanding RM12.74 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama 2025," katanya.

Mengikut segmen perniagaan, Mobiliti kekal sebagai penyumbang hasil terbesar apabila mencatatkan peningkatan 36.4 peratus kepada RM12.80 bilion berbanding RM9.39 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Prestasi itu terutama didorong jualan kenderaan PROTON yang lebih tinggi serta peningkatan sumbangan daripada perniagaan aeroangkasa susulan pengambilalihan CTRM AeroSystems Sdn. Bhd. pada Disember 2025.

Segmen Perbankan pula merekodkan peningkatan hasil 9.5 peratus kepada RM1.81 bilion berbanding RM1.65 bilion terutama disumbangkan pendapatan pembiayaan lebih tinggi hasil pertumbuhan jumlah pembiayaan, pengembangan perniagaan yang mampan serta pertambahan bilangan pelanggan.

Bagi segmen Pos, hasil meningkat 8.5 peratus kepada RM1.46 bilion berbanding RM1.34 bilion, disokong sumbangan lebih kukuh daripada perniagaan kurier, penerbangan dan logistik.

Artikel Berkaitan:

Pertumbuhan itu didorong peningkatan jumlah kiriman daripada pelanggan kontrak dalam perniagaan kurier, pertambahan tan kargo dan pergerakan penerbangan dalam perniagaan penerbangan serta peningkatan sumbangan daripada perniagaan logistik.

Bagaimanapun, prestasi berkenaan sebahagiannya diimbangi penurunan hasil daripada perniagaan antarabangsa dan mel berikutan pengurangan jumlah penghantaran susulan pelarasan harga.

Segmen Perkhidmatan turut mencatatkan peningkatan hasil 5.0 peratus kepada RM166.44 juta berbanding RM158.57 juta, terutama disebabkan pertambahan jumlah pemeriksaan kenderaan serta permintaan lebih tinggi bagi perkhidmatan pemeriksaan bergerak kenderaan.

Sebaliknya, hasil segmen Hartanah menurun kepada RM104.11 juta berbanding RM197.68 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Penurunan itu terutama disebabkan hasil lebih rendah daripada aktiviti berkaitan pembinaan berikutan penyiapan projek dalam tempoh sama tahun sebelumnya. Bagaimanapun, kesan tersebut sebahagiannya diimbangi peningkatan hasil daripada aktiviti pembangunan hartanah yang disokong penyerahan milikan kosong kepada pembeli.

Mengulas prospek, DRB-HICOM menjangkakan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan pada 2026, disokong permintaan domestik yang berterusan, selaras jangkaan Bank Negara Malaysia.

Namun konflik berpanjangan di Timur Tengah terus menimbulkan risiko penurunan terhadap prospek ekonomi.

Bagi segmen Mobiliti, PROTON merekodkan momentum jualan kukuh apabila mencatatkan jualan sebanyak 153,316 unit dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026, mengatasi jumlah jualan tahunan sebanyak 151,564 unit yang direkodkan sepanjang 2025.

PROTON turut meningkatkan bahagian pasaran kepada 25.4 peratus berbanding 19.0 peratus dalam tempoh sama tahun lalu.

Barisan kenderaan berelektrik (xEV) PROTON pula merekodkan 31,104 penghantaran domestik, dengan e.MAS 5 terus mengekalkan kedudukannya sebagai model EV paling laris di Malaysia.

Pencapaian itu mencerminkan penerimaan pasaran yang semakin meningkat terhadap portfolio xEV PROTON yang berkembang, selain mengukuhkan keyakinan pengguna terhadap jenama berkenaan.

Sementara itu, bagi segmen Pos, Kumpulan kekal yakin dengan komitmen berterusan kerajaan untuk menubuhkan Dana Perkhidmatan Pos, yang diperkukuhkan menerusi pengumuman pada 9 Oktober 2026 mengenai peruntukan sebanyak RM150 juta kepada dana berkenaan menjelang suku pertama 2027.

Pos Malaysia terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan pelan transformasinya, disokong kemajuan berterusan dalam reformasi kawal selia serta peningkatan kecekapan operasi bagi membolehkan syarikat menyesuaikan diri dengan landskap pasaran yang semakin berubah.

Segmen Perbankan, Perkhidmatan dan Hartanah pula terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kecemerlangan operasi serta mempercepat pelaksanaan inisiatif pendigitalan masing-masing.

Dengan memanfaatkan teknologi, inovasi dan sinergi merentas segmen, Kumpulan terus membuka peluang baharu untuk menjana nilai mampan jangka panjang merentasi portfolio perniagaannya yang pelbagai.

Secara keseluruhan, DRB-HICOM menjangkakan prospek sederhana bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!