Proton Persona tutup tirai selepas 19 tahun, rekod jualan 473,346 unit

Proton meraikan penyerahan Persona terakhir menerusi majlis khas di pusat pengedar 4S Atiara Johan, Puchong.
Proton meraikan penyerahan Persona terakhir menerusi majlis khas di pusat pengedar 4S Atiara Johan, Puchong.
A
A
A

PROTON Persona secara rasmi menamatkan perjalanan selama 19 tahun dalam industri automotif negara selepas mencatatkan jualan sebanyak 473,346 unit sejak diperkenalkan pada 2007.

Proton menerusi hantaran di Facebook berkata, pihaknya meraikan penyerahan unit terakhir Persona menerusi majlis khas di pusat pengedar 4S Atiara Johan, Puchong, sekali gus menandakan berakhirnya pengeluaran model berkenaan.

“Kini, legasi Persona diteruskan oleh Proton S70 1.5 i-GT yang menawarkan ruang lebih luas, keselesaan lebih baik dan teknologi moden pada harga mampu milik.

“Terima kasih kepada semua pemilik Proton Persona atas kepercayaan dan sokongan sepanjang 19 tahun ini. Bersama-sama, kita terus melakar perjalanan baharu!” katanya pada Rabu.

Sepanjang tempoh pengeluarannya, Persona menjadi antara model sedan penting dalam rangkaian Proton dengan menawarkan ruang penumpang dan bagasi lebih luas bagi memenuhi keperluan pengguna, khususnya keluarga.

Pada 15 Ogos 2007, Proton memperkenalkan Persona bagi menggantikan peranan sedan Wira dengan menggunakan platform Proton GEN 2.

Bagaimanapun, Persona hadir dengan reka bentuk badan dan susun atur ruang yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan pembeli sedan.

Model itu kemudian muncul sebagai antara penyumbang penting kepada jualan Proton apabila berjaya mengatasi jualan model asal yang menjadi asas pembangunannya, selain menerajui jualan sedan segmen B di Malaysia.

Generasi kedua Persona pula memasuki pasaran pada 23 Ogos 2016 berasaskan platform Proton Iriz dengan peningkatan dari segi ciri keselamatan, keselesaan pemanduan dan kepraktisan.

Penambahbaikan turut dilakukan pada 2019 dan 2021 bagi memastikan Persona kekal relevan dengan keperluan pengguna.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!