'Guna panggilan video menyamar polis New York jerat mangsa'

KUALA LUMPUR – Kegiatan sindiket penipuan dalam talian antarabangsa yang menyamar sebagai pegawai Polis New York dan beroperasi dari sebuah unit kondominium di Bukit Ceylon di sini berjaya ditumpaskan dalam satu serbuan pada Selasa lalu.
Operasi yang bermula kira-kira jam 5 petang itu dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial dengan kerjasama Cawangan Khas serta Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, yang membawa kepada penahanan 11 suspek warga asing.
Difahamkan, suspek menggunakan panggilan video dengan mengenakan pakaian seragam menyerupai anggota Polis New York serta berlatarbelakangkan logo agensi penguat kuasa tersebut bagi memperdaya mangsa.
Malah, sindiket berkenaan dipercayai turut memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam panggilan video yang dijalankan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, semakan mendapati kesemua suspek berusia antara 22 hingga 51 tahun terdiri daripada empat warga Afrika Selatan, tiga warga Taiwan serta masing-masing seorang warga Mexico, Zimbabwe, Kenya dan India.

Menurutnya, kesemua suspek dipercayai memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial (LPS) atas tujuan pelancongan.
"Pemeriksaan forensik digital dan analisis media sosial terhadap peranti yang dirampas mendapati sindiket ini menyamar sebagai anggota Polis New York dengan menyasarkan mangsa warga Amerika Syarikat.
"Sindiket yang dipercayai beroperasi sejak pertengahan tahun ini memperdaya mangsa dengan mendakwa mereka terbabit dalam kegiatan jenayah serta pengubahan wang haram," katanya pada sidang akhbar di IPD Dang Wangi di sini pada Khamis.
Beliau berkata, bagi meyakinkan mangsa, sindiket itu turut menggunakan dokumen yang menyerupai dokumen rasmi Polis New York, pakaian seragam polis serta teknologi pertukaran wajah (face swap) bagi mengesahkan identiti palsu mereka.
Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket terbabit menyewa kondominium tersebut pada kadar kira-kira RM15,000 sebulan.
"Suspek dipercayai berperanan sebagai operator dan kami tidak menolak kemungkinan lebih 100 panggilan dibuat setiap hari," katanya.
Dalam serbuan tersebut, polis merampas pelbagai barangan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan termasuk 31 unit telefon bimbit, tujuh unit komputer riba, tiga pasang pakaian seragam Polis New York, papan logo Polis New York dan peta bandar raya New York.
Ahmad Azwan berkata, kesemua suspek direman selama empat hari sehingga 28 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.
"Polis komited membanteras kegiatan sindiket penipuan dalam talian, khususnya jenayah rentas sempadan yang menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi aktiviti jenayah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
