Hasrat luang masa bersama keluarga berakhir tragedi, wanita maut

Mangsa berusia 35 tahun dilaporkan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Hospital Gua Musang untuk pemeriksaan lanjut. Gambar hiasan
Mangsa berusia 35 tahun dilaporkan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Hospital Gua Musang untuk pemeriksaan lanjut. Gambar hiasan
A
A
A

GUA MUSANG - [DIKEMAS KINI] Hasrat seorang wanita meluangkan masa bersama keluarga berakhir tragedi apabila dia maut selepas dipercayai tergelincir dan terjatuh di atas batu di Kampung Peng, Pos Balar di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa berusia 35 tahun yang merupakan Orang Asli dilaporkan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Hospital Gua Musang untuk pemeriksaan lanjut.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama keluarganya dalam perjalanan ke sungai untuk memancing.

"Setiba di lokasi mangsa telah tergelincir dan terjatuh di atas batu di pinggir sungai sebelum ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Susulan kejadian itu, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan membantu membawa mangsa keluar dari lokasi untuk dihantar ke Hospital Gua Musang berikutan keadaan jalan yang agak teruk akibat hujan lebat," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Choon Foo berkata, kejadian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarangn spekulasi berhubung kejadian berkenaan yang boleh mengganggu siasatan serta menyentuh sensitiviti keluarga mangsa.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika berada di kawasan sungai dan kawasan tinggi," katanya.

 

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!