Bawa parang kejar orang awam, empat cedera diserang lelaki mengamuk

KUALA LIPIS - Empat individu cedera selepas seorang lelaki bersenjatakan parang mengamuk dan mengejar orang awam di Kampung Berchang di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira jam 6.36 petang sebelum sepasukan pegawai dan anggota polis digerakkan ke lokasi.
"Susulan itu, suspek ditahan kira-kira jam 7.10 malam sebelum dibawa ke IPD Lipis untuk tindakan lanjut.
"Suspek dirujuk ke Wad Psikiatri Hospital Bentong selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lipis dan kini masih berada di hospital berkenaan untuk pemeriksaan mental,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau memaklumkan, ekoran kejadian tersebut, empat mangsa telah tampil membuat laporan polis di Balai Polis Padang Tengku berhubung kejadian itu.
Katanya, kecederaan dialami semua mangsa tidak begitu serius dan mereka berada dalam keadaan stabil.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

