Belanjawan Pahang 2027: RM100.9 juta perkasa sektor pertanian, perikanan

Wan Rosdy ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2027 di Wisma Sri Pahang, Kuantan pada Jumaat.
Wan Rosdy ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2027 di Wisma Sri Pahang, Kuantan pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak RM100.9 juta diperuntukkan pada tahun hadapan khusus bagi memperkukuh sektor pertanian, penternakan dan perikanan di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sektor itu penting kerana ia antara tunjang ekonomi, khususnya dalam menjana pendapatan rakyat dan menjamin keterjaminan bekalan makanan negeri.

Menurutnya, daripada jumlah peruntukan itu, RM3 juta disediakan bagi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) Pahang 2027, manakala RM200,000 bagi penganjuran Karnival Nelayan Darat 2027 menerusi Inisiatif Bantuan Negeri Pahang.

"Kerajaan negeri turut menyediakan RM3.9 juta bagi membantu golongan tani dan nelayan di negeri ini.

"RM1 juta untuk Bantuan Makanan Ikan Nelayan Pahang 1st; Bantuan Baja Petani Pahang 1st (RM1 juta); Program Petani Muda Pahang 1st (RM1 juta); sumbangan input benih ikan kepada pengusaha akuakultur (RM400,000) dan pembangunan Pusat Benih Golden Melon Pahang di Benta, Lipis (RM500,000)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat.

Wan Rosdy berkata, bagi menyokong pembangunan dan pemodenan sektor itu, RM15.6 juta disediakan untuk melaksanakan pelbagai program dan projek pembangunan di bawah Jabatan Perikanan, Jabatan Pertanian dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pahang.

Pada masa sama, katanya, kelancaran operasi serta penyampaian perkhidmatan agensi berkenaan turut diperkukuh melalui peruntukan pengurusan sebanyak RM60.7 juta.

"Dalam usaha memperkukuh sektor perikanan dan meningkatkan pendapatan nelayan kecil, kerajaan negeri melalui Yayasan Pahang menyediakan RM10 juta untuk membangunkan kemudahan penyimpanan sejuk bagi mengekalkan kualiti hasil tangkapan dan mengurangkan risiko kerosakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, peruntukan RM5 juta diluluskan khusus untuk mengembangkan industri baka kerbau tenusu di negeri ini.

Jelasnya, langkah strategik itu bertujuan meningkatkan populasi baka tenusu berproduktiviti tinggi, mengurangkan kebergantungan kepada produk tenusu import serta membuka peluang ekonomi baharu kepada usahawan tani tempatan.

"Selain itu, bantuan RM1.5 juta turut disediakan bagi membantu meringankan beban golongan petani dan RM975,000 kepada nelayan laut serta nelayan darat, dengan setiap penerima akan menerima sumbangan sekali bayar sebanyak RM300 seorang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!