Anggota Rela didakwa amang seksual anak asuhan isteri

KUALA LUMPUR - Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan yang diasuh isterinya, awal bulan ini.
Mohamad Afiq Affendy, 31, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap mangsa berusia lima tahun sembilan bulan di sebuah rumah di Jinjang Utara, Sentul, dekat sini pada 7 malam 1 November.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Pervinah Mohamad Yusof tidak menawarkan jaminan namun jika mahkamah membenarkan jaminan, mencadangkan jumlah tidak kurang RM25,000 dengan syarat tambahan melaporkan diri ke balai polis berdekatan setiap bulan, tidak mengganggu saksi pendakwaan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Peguam, Siti Hajar Aisyah Mohd Pozi memohon jaminan rendah atas alasan lelaki itu pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) masalah intelektual dan menyara isteri serta seorang anak berusia setahun dengan pendapatan yang rendah.
"Anak guam berjanji tidak akan mengganggu saksi pendakwaan dan akan tinggal berasingan daripada isterinya sepanjang kes berlangsung,” katanya.
Hakim Muhammad Ilmami Ahmad membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan melaporkan diri di balai polis setiap bulan serta tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 22 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
