'Lama terkandas, saya mahu pulang ke pangkuan keluarga' - Kru MV Berkat Tuah

SEPANG - Selain isu tunggakan gaji, kru kapal MV Berkat Tuah yang terkandas di Pelabuhan Hamriyah, Sharjah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sejak Oktober tahun lalu menyatakan hasrat pulang ke pangkuan keluarga sebagai keutamaan buat masa ini.
Lima kru berkenaan ialah Kapten kapal Hendi Irawan, 45, dari Jakarta, Indonesia; Mohamad Luqman Yahaya, 31, dari Felda Kerteh, Terengganu; Mark Martin, 39, dari Sarawak; Mohd Shah Rizan Rahman, 33, dan Mohd Fariduddin Muhamad Jainudin, 26, dari Sabah.
Kelima-lima mereka merupakan kumpulan akhir daripada 13 kru MV Berkat Tuah yang berjaya dibawa pulang Isnin.
Salah seorang kru, Mark berkata, keutamaannya ketika ini ialah pulang ke pangkuan keluarga selepas sekian lama berada di atas kapal sebelum mencari peluang pekerjaan dengan syarikat perkapalan lain.
"Saya mahu pulang kepada keluarga dahulu kerana sudah lama (terkandas) berada di sana (UAE).
"Mungkin dalam masa sebulan lagi saya akan mencari syarikat yang lain," katanya selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini pada Isnin.
Dia turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia, Datuk Dickson Dollah yang disifatkannya sebagai individu yang memberi harapan kepada mereka ketika hampir berputus asa.
"Hari ini beliau (Dickson) membuktikan komitmennya untuk membawa kami pulang ke Malaysia. Kami sangat berterima kasih," ujarnya.
Sementara itu, kapten MV Berkat Tuah, Hendi berkata, semangat kerjasama dan sokongan antara lima kru menjadi kekuatan utama mereka untuk terus bertahan sepanjang hampir setahun terkandas di perairan UAE.
Kata Hendi, walaupun berdepan tekanan emosi dan tidak menerima gaji selama enam bulan, kesemua kru berusaha saling memberi semangat sehingga akhirnya berjaya pulang ke Malaysia.
"Alhamdulillah, kita boleh melewati semua ujian dan dugaan ini sehingga kita kembali ke Malaysia.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia, khususnya Jabatan Laut Malaysia, Kumpulan Wang Pusat Perdagangan Laut (KWPPL), International Transport Workers’ Federation (ITF), Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai," katanya.
Hendi berkata, perjuangan mereka tidak terhenti dengan kepulangan ke tanah air kerana masih terdapat tunggakan gaji yang perlu diselesaikan, termasuk membabitkan kru yang telah meninggalkan kapal lebih awal.
"Saya harap masalah ini boleh diselesaikan secepat mungkin dan kita pun boleh menyertai syarikat yang lebih baik lagi," katanya.
Sebelum itu, Kementerian Luar Negeri memaklumkan, kepulangan kumpulan terakhir itu melengkapkan misi membawa pulang kesemua lapan anak kapal warga Malaysia selepas empat kru pertama selamat tiba di tanah air pada 10 April lalu.
MV Berkat Tuah dilaporkan terkandas di Pelabuhan Hamriyah sejak Oktober tahun lalu susulan pertikaian komersial yang menghalang proses pertukaran kru, menyebabkan anak-anak kapal terpaksa berada lebih lama di atas kapal sementara menunggu penyelesaian.
Sepanjang tempoh itu, Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai mengadakan beberapa lawatan konsular bagi memastikan kebajikan dan keselamatan anak-anak kapal sentiasa terpelihara.
Pada masa sama, perwakilan diplomatik Malaysia turut berunding dengan pihak berkuasa Sharjah serta menyelaras usaha bersama Jabatan Laut Malaysia dan pihak berkaitan bagi mempercepatkan proses membawa pulang mereka.
Kerajaan Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan UAE atas bantuan dan kerjasama yang diberikan dalam menguruskan kepulangan anak-anak kapal itu dengan selamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
