Pengganti Ismail bergantung keputusan parti, perkenan istana

Laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

PERKEMBANGAN politik di Negeri Sembilan susulan pengumuman peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar bukan sahaja tertumpu kepada persoalan siapa bakal menggantikannya.

Sebaliknya, perkembangan itu turut melibatkan keputusan kepimpinan parti serta proses perlembagaan negeri sebelum pelantikan baharu dapat dimuktamadkan.

Perkara berkenaan menjadi perhatian selepas Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa mengesahkan hanya satu nama calon dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk mendapatkan perkenan baginda.

Perkembangan tersebut sekali gus mencetuskan persoalan mengenai identiti calon tunggal berkenaan, terutama apabila tiga pemimpin UMNO mula dikaitkan dengan jawatan itu iaitu Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin; dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Jalaluddin, yang juga Ahli Parlimen Jelebu dan ADUN Pertang, menjadi antara nama yang disebut berikutan kedudukannya sebagai Pengerusi UMNO Negeri Sembilan.

Beliau turut menjadi perhatian selepas mengesahkan pernah menghadap Tuanku Muhriz pada Oktober lalu.

Bagaimanapun, ketika sidang akhbar di Wisma UMNO Negeri Sembilan pada Selasa, Jalaluddin menegaskan bahawa penentuan calon pengganti Ismail diserahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan tertinggi parti.

Mohd Asna pula, yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban, turut disebut sebagai calon berpotensi berdasarkan kedudukannya dalam parti serta hubungan baik dengan kepimpinan pusat.

Nama beliau bukan kali pertama dikaitkan dengan jawatan tersebut kerana pernah disebut sebagai calon Menteri Besar ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023. Namun, pengalaman beliau yang masih relatif baharu sebagai ADUN turut menjadi antara faktor yang dibangkitkan dalam menilai kesesuaian pencalonannya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat mempunyai pengalaman luas menerajui Negeri Sembilan sebagai Menteri Besar selama tiga penggal, iaitu dari 2004 hingga 2018.

ADUN Rantau itu pernah memegang jawatan berkenaan sebelum BN tewas kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pengalaman pentadbiran tersebut menjadikan namanya terus disebut sebagai antara calon berpotensi. Bagaimanapun, tiada pengesahan bahawa beliau termasuk dalam nama yang dikemukakan kepada pihak istana.

Walaupun begitu, ketiga-tiga nama berkenaan masih berada pada peringkat spekulasi kerana Ahmad Zahid belum mendedahkan identiti calon tunggal yang telah dikemukakan.

Dalam masa sama, pelantikan Menteri Besar baharu tertakluk kepada perkenan Tuanku Muhriz, manakala pihak istana sebelum ini memaklumkan bahawa peletakan jawatan Ismail masih belum dimuktamadkan.

Justeru, perkembangan politik di Negeri Sembilan ketika ini bukan sekadar bergantung kepada siapa yang memperoleh sokongan kepimpinan parti, sebaliknya turut melibatkan proses perlembagaan negeri serta perkenan Yang di-Pertuan Besar sebelum pelantikan Menteri Besar baharu dapat dimuktamadkan.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!