[VIDEO] Peruntukan RM290 juta untuk program BAeK PTPTN, bantu pelajar miskin - Adam Adli

A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak RM290 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Biasiswa Anak eKasih Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (BAeK PTPTN) yang membolehkan pelajar daripada keluarga miskin dan miskin tegar mendapat pembiayaan pendidikan dalam bentuk biasiswa.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim berkata, inisiatif itu yang bermula tahun ini membolehkan pinjaman PTPTN yang diluluskan kepada pelajar layak ditukar kepada biasiswa sekali gus memastikan golongan berkenaan dapat melanjutkan pengajian tanpa dibebani hutang pinjaman pendidikan.

"Jadi, setiap pelajar daripada keluarga B40 yang berdaftar bawah BAeK PTPTN, mereka ini daftar sahaja sebagai pelajar mendapat tawaran PTPTN, terima dahulu kerana secara automatik kita akan serap semua hutang mereka. Maksudnya, mereka dapat pendidikan percuma,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) yang ingin tahu kesediaan kementerian mempertimbangkan mekanisme bantuan pendidikan B40 sehenti atau one stop centre yang menggabungkan pelbagai agensi bagi membantu pelajar sebelum mendaftar ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Adam Adli berkata, BAeK PTPTN merupakan antara pendekatan kerajaan membantu pelajar miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam pangkalan data eKasih serta mengikuti pengajian peringkat diploma atau ijazah sarjana muda sepenuh masa di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).

Beliau berkata, sebanyak RM1.82 bilion telah dibelanjakan tahun ini bagi membantu lebih 168,000 pelajar menerusi inisiatif pelupusan hutang pinjaman pendidikan.

Katanya, kerajaan juga sedang mengusahakan pelaksanaan pelan pembayaran balik pinjaman PTPTN berasaskan pendapatan pada 2027, iaitu graduan yang belum memperoleh pendapatan melebihi RM2,500 sebulan tidak perlu membuat bayaran balik pinjaman sehingga mencapai paras pendapatan itu. 

Terdahulu, menjawab soalan asal Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai mekanisme memastikan pelajar B40 yang mendapat tawaran ke IPT tidak tercicir akibat ketidakmampuan membayar yuran pendaftaran atau kos awal kemasukan, Adam Adli berkata, kementerian menyediakan pelbagai bantuan meliputi yuran pengajian, penginapan, makanan dan pengangkutan.

Beliau berkata, bantuan itu termasuk wang pendahuluan pinjaman PTPTN berjumlah RM1,500 kepada pelajar B40 yang layak sebelum mendaftar di universiti awam atau politeknik serta Program Pembangunan Siswa Sulung yang menyediakan peluang dan pembiayaan pendidikan kepada generasi pertama keluarga B40 untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di universiti awam. - Bernama

Artikel Berkaitan:

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!