RUU KWAN 2026 perkukuh simpanan antara generasi negara

MOF
MOF
A
A
A

SHAH ALAM – Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) 2026 yang diluluskan Dewan Rakyat semalam memperkukuh KWAN sebagai simpanan antara generasi negara bagi memastikan rizab kewangan yang berkekalan untuk generasi kini dan akan datang.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan berkata, ia merupakan pembaharuan menyeluruh yang pertama terhadap KWAN sejak penubuhannya pada 1988.

"Selaras dengan agenda reformasi ekonomi kerajaan, RUU ini menggariskan pembaharuan penting bagi memperkukuh tadbir urus, disiplin fiskal dan daya tahan kewangan negara demi kepentingan rakyat serta generasi akan datang.

"Melalui RUU ini, dicadangkan penubuhan KWAN (Diperbadankan) sebagai sebuah badan berkanun yang menggantikan struktur panel sedia ada, dengan sebuah lembaga yang bertanggungjawab mentadbir, mengurus dan melabur Kumpulan Wang.

"Dalam tempoh peralihan, pengurusan dana Kumpulan Wang akan terus ditadbir dan diurus oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang telah menjalankan peranan ini sejak penubuhan KWAN bagi memastikan kesinambungan," katanya pada Jumaat.

Tambah MOF, RUU tersebut memperkenalkan peruntukan yang mengikat berkaitan sumbangan, penggunaan dan pelaburan.

Jelasnya, di bawah sumbangan berkanun, Kerajaan Persekutuan diwajibkan menyumbang sekurang-kurangnya 0.1 peratus daripada hasil tahunan yang diunjurkan, selain 2.0 peratus daripada dividen Petroliam Nasional Berhad (Petronas) yang diterima Kerajaan Persekutuan.

"Sebanyak 2.0 peratus daripada duti eksport sumber menyusut yang diterima oleh Kerajaan Persekutuan selepas ditolak penyerahhakan kepada sesebuah kerajaan negeri. Kadar ini merupakan kadar minimum dan Kerajaan Persekutuan boleh menambah sumbangan pada bila-bila masa.

"Bagi disiplin penggunaan, ia dihadkan kepada pendidikan, penjagaan kesihatan serta mitigasi dan penyesuaian terhadap perubahan iklim.

Artikel Berkaitan:

"Manakala, pengeluaran tahunan tidak boleh melebihi 50 peratus daripada kadar pulangan benar jangka panjang yang dijangka supaya prinsipal terpelihara dan terus berkembang. Pengeluaran melebihi had memerlukan kelulusan Dewan Rakyat," katanya.

Mengulas lanjut, MOF berkata Kumpulan Wang akan dilaburkan secara berhemat merentasi kelas aset yang dibenarkan, berpandukan Peruntukan Aset Strategik yang diluluskan oleh Menteri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!